Langkah kerajaan menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS) adalah tepat dan baik kerana ia adalah entiti kebanggaan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, Khazanah Nasional Bhd telah menyuntik sebanyak RM6 bilion untuk memastikan MAS pulih semula.

“Khazanah juga komited untuk merealisasikan pelan penstrukturan MAS yang dirancang,” katanya yang ditemui di luar mesyuarat agung luar biasa (EGM) MAS, di sini, semalam.

Menurutnya, tawaran 27 sen sesaham oleh MAS juga adalah satu nilai yang adil berdasarkan kepada penilai bebas.

“Jadi, daripada menjadi syarikat PN17 (status muflis), adalah lebih baik bagi mereka (pemegang saham) untuk mengambil tawaran 27 sen ini dan kami melaksanakan penyusunan semulanya. Kelak, ia boleh kembali untuk disenaraikan semula,” katanya.

EGM itu akan menentukan sama ada pemegang saham minoriti menerima atau menolak tawaran sesaham 27 sen oleh MAS.

Sekiranya mereka menerima tawaran itu, MAS akan dikeluarkan daripada penyenaraian Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada pelaksanaan penyusunan semulanya yang bertujuan memulihkan semula keuntungan syarikat penerbangan nasional itu dalam tempoh tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:04 AM