INDUSTRI farmaseutikal halal yang berkembang pesat dapat memberi manfaat kepada Malaysia daripada segi perdagangan, pelaburan dan inovasi ramuan halal
INDUSTRI farmaseutikal halal yang berkembang pesat dapat memberi manfaat kepada Malaysia daripada segi perdagangan, pelaburan dan inovasi ramuan halal

Riyadh: Malaysia perlu memanfaatkan peluang bagi mengembangkan pasaran farmaseutikal halalnya, terutama ke negara Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena) berikutan peningkatan permintaan di peringkat global, kata Halal Development Corporation Bhd (HDC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari berkata, Arab Saudi misalnya memainkan peranan penting sebagai pintu masuk utama farmaseutikal halal dalam usaha memastikan Malaysia serta negara Asean yang lain dapat menembusi rantau Mena.

"Permintaan dan kuasa beli untuk produk halal termasuk farmaseutikal, amat tinggi di rantau Mena dan di peringkat global. Malah, dilaporkan bahawa saiz industri farmaseutikal global mencecah AS$1.6 trillon dan 10 peratus atau AS$160 bilion daripadanya adalah halal.

"Malaysia pula dijangka mencecah AS$5.9 bilion menjelang 2030 dan inilah peluang untuk kita bekerjasama dengan Bank Pembangunan Islam (IsDB) supaya produk farmaseutikal halal dapat memasuki pasaran baharu dalam kalangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Arab Saudi," katanya kepada Bernama, semalam.

Pada masa sama, Hairol Ariffein percaya industri farmaseutikal halal yang berkembang pesat dapat memberi manfaat kepada Malaysia daripada segi perdagangan dan pelaburan serta inovasi ramuan halal.

Namun, Malaysia masih kekurangan pemain industri farmaseutikal halal dan atas alasan itu, beliau meminta kerajaan untuk menawarkan lebih banyak insentif berkaitan industri berkenaan.

"Hanya beberapa syarikat farmaseutikal halal di Malaysia yang mengguna pakai halal secara sepenuhnya. Insentif yang ditawarkan untuk farmaseutikal halal pula amat terhad dan hanya bagi syarikat sudah maju atau mewujudkan syarikat di kawasan industri halal khusus.

"Oleh itu, kerajaan perlu memperluas penawaran insentif kepada mereka yang beroperasi walaupun di luar sistem yang ditetapkan," katanya.

Berikutan itu, Hairol Ariffein berkata, HDC sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) untuk memperkenalkan insentif khusus bagi pelaburan bernilai tambah tinggi yang sejajar dengan Dasar Pelaburan Baharu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 7:34 AM