Sri Ayu Kartika Amri

PERBADANAN Pembangunan Halal (HDC) berada di landasan tepat membangunkan Malaysia sebagai negara paling kompetitif dalam industri halal global.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, permintaan industri halal semakin meningkat dan potensi pasaran halal di dunia sudah mencecah sehingga AS$3 trilion.

Katanya, berikutan peningkatan itu negara perlu membangunkan lebih ramai tenaga kerja pakar dalam industri halal.

“Misi HDC adalah untuk mencipta peluang untuk komuniti ekosistem halal di Malaysia termasuk peluang dalam pelaburan, perdagangan, pekerjaan dan pemindahan teknologi.

“HDC juga sudah merancang beberapa program sepanjang tahun ini dan antaranya menyusun kerjasama strategik dengan negara Jepun, Korea, Taiwan, China dan Dubai.

“Tahun ini juga HDC menyasarkan untuk membawa sekitar 700 tenaga pakar bagi membantu membangunkan industri halal di negara berkenaan,” katanya pada sesi taklimat media di sini, semalam.

Menurutnya, negara terbabit adalah rakan strategik bagi Malaysia dan semakin memahami potensi dan berminat meneroka lebih lanjut mengenai industri halal.

Sementara itu, Hairol berkata, HDC optimis untuk mencapai RM50 bilion nilai ekport halal yang disasarkan tahun ini berbanding RM41 bilion yang direkodkan pada 2019.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 1,400 syarikat yang mengeksport produk halal dan pihaknya menjangkakan 200 lagi syarikat akan dapat dibangunkan tahun ini.

“Selain itu, menerusi kerjasama strategik dengan Jepun, Korea, Taiwan, China dan Dubai, kami menyasarkan penambahan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion nilai eksport halal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:10 AM