HAIROL Ariffein (kiri) dan Khurram selepas memeterai MoU antara HDC dan StanChart Saadiq.
HAIROL Ariffein (kiri) dan Khurram selepas memeterai MoU antara HDC dan StanChart Saadiq.

Kuala Lumpur: Halal Development Corporation Bhd (HDC) menjalin kerjasama dengan Standard Chartered Saadiq (StanChart Saadiq, SCS) bagi pengkomersialan Platform Bersepadu Halal (HIP) menerusi pelancaran Halal360 sebagai Bank Pembiayaan Islam Pilihan untuk penggiat industri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, kerjasama itu membabitkan pembiayaan bernilai AS$100 juta (RM417 juta) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat dan syarikat multinasional berkembang serta berjaya menerusi HIP.

Menurutnya, program pembiayaan itu akan turut membantu syarikat besar yang terbabit dalam pengeluaran produk halal untuk mengembangkan perniagaan di pasaran Malaysia, Timur Tengah dan Afrika termasuk pelaburan dalam 14 taman industri halal di negara ini.

"Ini sememangnya satu peluang hebat bagi HDC untuk memainkan peranan dalam melengkapkan antara keperluan utama kebanyakan syarikat halal.

"Program dana pembiayaan itu akan membolehkan syarikat berkenaan menyertai pasaran halal yang strategik termasuk di Timur Tengah dan Afrika," katanya dalam kenyataan.

HDC dan SCS memeterai memorandum persefahaman (MoU) hari ini pada Minggu Kluster Halal yang diadakan pada 15 hingga 20 November 2021 di Pavilion Malaysia dan bersempena penganjuran Ekspo Dunia 2020 Dubai yang kini berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Hairol Ariffein berkata, HDC dan SCS turut menganjurkan program kemudahan perdagangan dalam bentuk padanan perniagaan dengan pembeli terpilih dari rantau Timur Tengah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam dan Ketua Produk Islam Kumpulan Standard Chartered, Khurram Hilal berkata, ekonomi halal dijangka menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Sehubungan itu, sebagai peneraju dalam perbankan Islam, bank berkenaan berbangga dapat menyokong perniagaan terbabit di serata kedudukannya di peringkat global.

"Kami sedang memanfaatkan rangkaian kami di pasaran yang mencatat pertumbuhan tinggi untuk membantu perniagaan menerusi tawaran penyelesaian kewangan inovatif, sekali gus menyumbang kepada ekosistem perdagangan halal secara menyeluruh.

"Dana ini akan membantu syarikat-syarikat halal menembusi pasaran Timur Tengah dan meningkatkan jumlah pelanggan selain mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran domestik.

"Program ini turut memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat berkaitan dengan meningkatkan skop perniagaan dan menjadikan mereka lebih berdaya saing di peringkat domestik dengan matlamat utama untuk melonjakkan jualan dan keuntungan secara menyeluruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 7:01 AM