Hairol Ariffein Sahari
Hairol Ariffein Sahari
BERNAMA

Melbourne: Kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) adalah langkah ke hadapan bagi Malaysia untuk mengembangkan pensijilan halalnya serta memanfaatkan hubungan perdagangan dengan negara lain, kata Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari berkata, agenda halal memerlukan penyelarasan kerana ia membabitkan pelbagai agensi dan badan.

"Itu sebabnya kita memperluaskan pengetahuan atau kerjasama dalam industri halal selain mencari rakan kongsi untuk membantu kita menyelaras isu halal yang timbul di negara masing-masing," katanya selepas pelancaran Litar Persidangan Perniagaan Halal Dunia 2022 (WHBCC) di sini.

Ketika ini, pensijilan halal Malaysia dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan diiktiraf oleh 84 badan di 46 negara.

Hairol mengulangi bahawa langkah pertama ialah G2G, kemudian ia bergantung kepada selera dan kesediaan sesebuah negara bagi penerokaan pasaran halal.

"Sebagai contoh, apabila Malaysia mengumumkan kerjasama dengan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) tahun lalu untuk bekerjasama secara strategik dalam ekonomi halal. Pelabur dan peniaga yang berpotensi menunjukkan minat yang mendalam.

"Ini kerana kita faham tidak semua negara mempunyai ekosistem halal yang matang," katanya.

Selain ekosistem halal, Hairol berkata, penting bagi sesebuah negara untuk memasukkan matlamat halal ke dalam agenda ekonomi negara.

Beliau memberi contoh Malaysia, yang mana kerajaan terus komited memperjuangkan Halal Malaysia yang menjadi gabungan pembangunan pensijilan halal dan industri secara keseluruhan.

"Industri ini sedang berkembang pesat dan pensijilan halal Malaysia adalah standard halal yang paling diiktiraf di dunia," katanya.

Dalam ucapan alu-aluan di WHBCC, Hairol berkata, produk serta perkhidmatan halal bukan hanya untuk umat Islam kerana ia merangkumi kemampanan, penggunaan etika dan pertumbuhan hijau.

"Negara lain seperti Rusia, China, Mongolia, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Arab Saudi termasuk negara jiran Asean sedang melihat kepada Malaysia untuk membangun dan menghubungkan ekosistem halal mereka dengan kita.

"Selain itu, mereka juga melihat kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk akses pasaran, pengembangan perniagaan, rangkaian, peluang kerjasama, pelaburan dan sebagainya," kata beliau lagi.

Hairol ketika mengulas mengenai industri halal Malaysia-Australia memberitahu Malaysia adalah pengimport utama dengan 71 peratus daging yang disahkan halal di negara ini disumberkan dari Australia.

Selain Brazil, Argentina dan India, Australia adalah salah satu hab utama yang mengeksport produk tenusu serta daging ke negara Islam.

Australia adalah salah satu pengeksport utama bahan halal, makanan serta minuman halal, kosmetik dan penjagaan diri.

HDC percaya dengan menghubungkan ekosistem halal antara kedua-dua negara, ia akan membawa kepada masa depan yang lebih luas bagi perniagaan serta komuniti sosial untuk membina rangkaian, merangsang inovasi dan menggalakkan ciptaan baharu bersama-sama.

Sementara itu, WHBCC diadakan buat pertama kalinya di luar Malaysia dan dijangka meningkatkan industri halal global, terutama dalam sektor perdagangan antara kedua-dua negara ke tahap baharu.

Persidangan ini dianjurkan oleh HDC serta disokong oleh rakan kongsinya, Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan Australia (AUSTRADE) dan Kerajaan Negeri Victoria.

Forum dua hari itu, yang sejak 13 edisi lepas telah diadakan di Malaysia, mempunyai acara kemuncak iaitu "Persidangan Kepimpinan Pemikiran."

Ia menampilkan 46 ahli panel dan moderator, dengan enam sesi sejajar yang membicarakan pelbagai subsektor dalam ekonomi halal.

WHBCC tahun ini akan mengambil kesempatan daripada perhimpunan fizikal pemimpin utama kerajaan serta wakil kedua-dua negara termasuk ketua-ketua industri, perniagaan, majlis perdagangan dan pemimpin masyarakat sivil dari seluruh dunia bagi membincangkan, mempromosikan serta menjalinkan rangkaian dalam bidang seperti keselamatan makanan, keselamatan, kemampanan dan ekosistem bahan halal, antara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 7:01 AM