KEMPEN ini bertujuan memberi kedua-dua inisiatif ini kepada PMKS untuk menyertai rangkaian bekalan halal secara lebih strategik melalui usahasama dengan syarikat besar.
KEMPEN ini bertujuan memberi kedua-dua inisiatif ini kepada PMKS untuk menyertai rangkaian bekalan halal secara lebih strategik melalui usahasama dengan syarikat besar.
Oleh Suliati Asri

Petaling Jaya: Penularan Covid-19 menyebabkan berlakunya gangguan kepada jumlah jualan beberapa produk halal sehingga pengeluarnya tidak dapat mengekalkan perniagaan terutama syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Atas sebab itu, Halal Development Corporation Bhd (HDC) melancarkan Kempen Inisiatif Bajet 2022: Jadikan halal Pilihan Utama Anda membabitkan gabungan dua program iaitu Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS dan Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari berkata, ketika Belanjawan 2022 yang diumumkan Oktober pada tahun lalu, HDC diperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk menjalankan pelbagai program pembangunan ekosistem perniagaan berkaitan halal supaya ia lebih berdaya maju.

Menurutnya, dengan tema 'Jadikan Halal Pilihan Utama Anda' ia selari dengan visi HDC iaitu untuk menjadikan halal sebagai pilihan utama.

"Sejak hari pertama, HDC kekal konsisten dan visi kami adalah untuk menyediakan penyelesaian yang berupaya membantu peserta industri menjadi lebih cemerlang dalam ruang pasaran halal.

"Peranan HDC pula, kita mahu memudah cara penyertaan industri ke dalam ekonomi halal untuk mendapat tiga perkara iaitu pertama meningkatkan eksport halal negara, kedua menarik lebih banyak pelaburan langsung ke dalam industri halal dan ketiga mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Malaysia melalui industri halal.

"Oleh itu, menerusi inisiatif Belanjawan 2022 ini, HDC menyusun khas untuk menjadi pemangkin kepada visi, misi dan juga peranan HDC yang kami jangka boleh  memberi impak kepada ekonomi halal negara secara keseluruhan dari sudut ekonomi makro dan mikro," katanya.

Kempen Inisiatif Bajet 2022: Jadikan Halal Pilihan Utama Anda juga diadakan bertujuan memberi kedua-dua inisiatif ini kepada PMKS untuk menyertai rangkaian bekalan halal secara lebih strategik melalui usahasama dengan syarikat besar.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari

Hairol berkata, dalam konteks ini, HDC bekerjasama dengan syarikat multinasional untuk membuka peluang perniagaan kepada PMKS mempromosikan produk mereka di peringkat tempatan.

"Menerusi pelaksanaan kempen ini, kita juga mahu menyediakan fasilitasi kebolehpasaran produk halal PMKS tempatan yang dipasarkan melalui  pasar raya berangkai antarabangsa bagi meningkatkan jumlah jualan dan prestasi seterusnya mengurangkan jurang prestasi jualan dan permintaan produk halal PMKS tempatan berbanding produk halal keluaran syarikat besar dan produk halal luar negara.

"Selain itu, kita juga mahu menyediakan fasilitasi penjenamaan bagi produk halal PMKS yang melaksanakan penjualan secara atas talian (e-Commerce) bagi meningkatkan capaian dan prestasi jualan. Ia juga secara tidak langsung mengatasi isu jurang visibiliti produk halal tempatan yang bersaing dengan produk halal luar negara ke arah meningkatkan kemampanan pengeluaran produk halal tempatan.

"Oleh itu, saya berharap program ini dapat menyediakan peluang kepada PMKS supaya mereka menjadi pemain industri yang lebih berjaya dalam rangkaian bekalan produk halal di peringkat domestik  ataupun antarabangsa," tambahnya.

Bagi menjayakan kempen ini, HDC menjalinkan usahasama dengan rakan strategik iaitu Lotuss' dan Pasaraya Lulu bagi program peningkatan kebolehpasaran produk halal PMKS, manakala foodpanda adalah rakan strategik bagi program penjenamaan digital produk halal PMKS.

Di Malaysia, sebanyak 200,000 PMKS yang terbabit dalam perniagaan berkaitan halal dan dari jumlah terbabit hanya 8,000 yang mempunyai sijil halal.

Dari jumlah itu pula, kurang dari 2,000 PMKS yang mempunyai keupayaan buat eksport ataupun jadi pembekal kepada syarikat besar atau multinasional.

Image

Hairol berkata, HDC berpegang kepada statistik itu dan menjadi asbab kepada program yang dilaksanakan ketika ini dan masa akan datang.

"Tugas HDC ada dua di sini iaitu pertama memperbanyakkan PMKS yang mempunyai sijil halal dan kedua bagi yang ada sijil halal, kami perlu bantu menjadikan mereka pengeksport serta pembekal produk halal yang berdaya saing tinggi.

"Jadi program ini adalah untuk memudah cara PMKS memasuki pasaran pasar raya melalui rangkaian digital dan ibarat fasa awal kerana selepas ini, HDC akan membawa mana-mana PMKS yang berdaya maju keluar negara untuk menjadi pembekal dalam rangkaian bekalan antarabangsa," katanya.

Justeru, untuk kedua-dua program menerusi kempen ini, kata Hairol, HDC mensasarkan 500 PMKS yang terbabit dalam pengeluaran produk makanan, minuman, dandanan diri dan banyak lagi.

"Dari sudut pelanggan pula, HDC mahu menarik pengguna di negara ini untuk membeli produk halal hasil PMKS tempatan kerana PMKS kita juga mampu mengeluarkan produk yang baik dan menawarkan harga berpatutan.

"Insya-Allah, sepanjang kempen ini yang sudah bermula dan dijangka berakhir pada Julai ini, pelbagai produk menarik ditawarkan pada harga yang menarik di lebih 60 cawangan Lotus dan empat cawangan Lulu di seluruh negara.

"Jika pengguna mahu membeli secara dalam talian, mereka boleh membuat pembelian menerusi aplikasi foodpanda dan menempah barangan promosi sempena kempen ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berharap pelanggan di Malaysia akan terus menyokong produk halal PMKS selain berharap kerajaan terus memberi kepercayaan kepada HDC untuk meneraju agenda ekosistem produk halal di Malaysia dan peringkat global.

Sementara itu, Presiden Lotus, Kenneth Chuah berkata, pihaknya berbangga kerana dapat menyokong usaha HDC membantu PKS tempatan pulih selepas Covid-19.

"Kempen ini adalah platform yang bagus kerana ia dapat membantu peniaga kecil tempatan mempamerkan produk halal mereka dan dengan adanya sokongan dari pengguna, perniagaan mereka juga boleh terus dimajukan dan diperkembangkan," katanya.

Pengarah Serantau LULU, Asif Moidu Ahamed

Pengarah Serantau LULU, Asif Moidu Ahamed berkata, pihaknya sedaya upaya cuba untuk meringankan beban rakyat Malaysia supaya mereka dapat berbelanja seperti biasa dan tidak terasa tertekan dengan kesan ekonomi sekarang.

"Menerusi kempen ini, kami juga melihat ia sangat membantu mengetengahkan dan meningkatkan hasil jualan pembekal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya.

Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, pihaknya bekerjasama bersama pihak HDC untuk mempertingkatkan lagi keupayaan dan kebolehpasaran peniaga halal di atas platform dengan memberi insentif serta mengadakan kempen sebegini.

"Kami juga berharap agar perniagaan halal secara digital dapat dikembangkan sekali gus menarik perniagaan halal yang baru menceburi pemasaran secara digital sambil menggunakan penghantaran q-hailing yang disediakan bersama dengan khidmat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 2:41 PM