KAKITANGAN menyiapkan pemasangan kenderaan keluaran Mercedes-Benz. - Gambar MERCEDES-BENZ MALAYSIA
KAKITANGAN menyiapkan pemasangan kenderaan keluaran Mercedes-Benz. - Gambar MERCEDES-BENZ MALAYSIA
Nurul Husna Mahmud


Pekan: Kerajaan komited memacu usaha untuk menarik pelaburan dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan mencapai sasaran nasional sebanyak 15 peratus jumlah volum industri (TIV) bagi EV termasuk hibrid (xEV) menjelang 2030.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, negara dijangka mencapai sasaran pembuatan xEV sebanyak 38 peratus daripada TIV tempatan menjelang 2040.

"Kerajaan optimis mencapai saaaran 15 peratus itu dan sedaya upaya meningkatkan infrastruktur stesen pengecas untuk menggalakkan penggunaan EV.

"Kerajaan berhasrat untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10,000 unit kemudahan caj awam menjelang 2025," katanya selepas melancarkan EQS 500 4MATIC, kereta Mercedes-Benz elektrik sepenuhnya yang pertama dipasang di dalam negara (CKD) di kilang pengeluarannya di sini, semalam.

Kilang pemasangan itu menyaksikan model terbaharu EQS, EQS 500 4MATIC memulakan pemasangan menggunakan tenaga kerja tempatan, mulai pertengahan Mac.

Kilang pemasangan EQS terbaharu itu juga sebahagian perluasan operasi syarikat itu di Malaysia lokasi sama juga terbabit dalam pengeluaran lebih 90 peratus kenderaan Mercedes-Benz di Malaysia termasuklah model terlarisnya, C-Class untuk pasaran Filipina.

Tengku Zafrul berkata, Miti menyambut baik usaha syarikat kereta terkemuka itu mendirikan kilang pemasangan model EV terbabit di Malaysia kerana ia sejajar dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 dan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon kerajaan.

"Kilang pemasangan pertama bagi model EQS dibangunkan Mercedez Benz bersama vendor tempatannya memacu lagi pembangunan Pekan sebagai hab automotif di Pahang.

"Ini sejajar dengan usaha kerajaan dalam menggalakkan penyetempatan teknologi automotif dan aktiviti eksport kenderaan termasuk komponen sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab serantau," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden, Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien berkata, operasi pemasangan model EQS di Malaysia menunjukkan komitmen syarikatnya menyokong portfolio pasaran EV tempatan selain menjadi pendahulu dalam pengeluar automotif untuk menyokong agenda lestari Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 6:10 AM