MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

MALAYSIA adalah negara ketiga terbesar yang membawa masuk pelaburan ke Kemboja dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) kini mencecah AS$3.53 bilion (RM16.52 bilion) dalam tempoh 1994 hingga 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kebanyakan pelaburan di Kemboja membabitkan sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa dan hiburan.

Katanya, pada tahun lalu, menerusi Jabatan Kastam dan Eksais Kemboja (GDCE) nilai dagangan dua hala antara Kemboja dan Malaysia adalah sebanyak AS$503 juta (RM2.35 bilion), iaitu peningkatan sebanyak 13.03 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Nilai eksport Kemboja ke Malaysia pula sebanyak AS$101.32 juta (RM474.2 juta), meningkat sebanyak 2.2 peratus, manakala nilai import adalah berjumlah AS$401.7 juta (RM1.88 bilion), iaitu peningkatan sebanyak 16.1 peratus.

"Secara keseluruhannya, defisit dagangan di antara kedua-dua negara pada tahun lalu meningkat sebanyak 21.7 peratus kepada AS$300.37 juta (RM1.4 trilion). Eksport utama Kemboja ke Malaysia adalah beras, buah tandan sawit (FFB), lada, getah, fabrik, komponen elektrik dan produkindustri serta pertanian, manakala import utama pula termasuk barangan kenderaan, makanan dan minuman (F&B) serta produk-produk elektronik," katanya dalam kenyataan semalam.

Zuraida berkata, melalui pemulihan ekonomi menggalakkan daripada kedua-dua negara ketika pasca pandemik Covid-19, usaha membawa minyak sawit Malaysia menembusi pasaran baharu melalui kempen jelajah antarabangsa untuk memperkukuh pasarannya semakin terserlah.

"Pengalaman Malaysia selama lebih 70 tahun dalam sektor pengeluaran minyak sawit boleh menjadi rujukan dan membantu Kemboja mencapai kejayaan sama dalam tempoh lima tahun melalui pemindahan teknologi, ilmu, bakat dan kemahiran.

"Yakinlah bahawa kempen antiminyak sawit yang digerakkan oleh Kesatuan Eropah (EU) tidak menjejaskan pengeluaran atau eksport hasil ladang Malaysia. Tuduhan kononnya perladangan sawit Malaysia menggunakan buruh paksa dan menjejaskan alam sekitar juga adalah tidak berasas sama sekali.

"Sebaliknya, 35 peratus daripada minyak sawit keluaran negara kita memperoleh pensijilan diiktiraf antarabangsa, iaitu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Tiada negara lain di dunia yang mempunyai pensijilan seumpamanya untuk minyak sawit mereka," katanya.

Tambahnya, bagi membantu penggiat industri hiliran minyak sawit Malaysia yang mahu memperkukuhkan keberadaan negara ini ke pasaran luar, Zuraida berkata kementeriannya sudah menggerakkan kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit.

Beliau berkata, kempen itu bagi meningkatkan kesedaran mengenai kualiti tinggi minyak sawit negara ini sekaligus mampu memerangi maklumat salah yang dilemparkan terhadap minyak 'emas' negara.

"Kementerian sentiasa komited dalam memperkasa agenda sektor Agrikomoditi dari masa ke semasa, terutamanya sektor sawit supaya lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 7:15 AM