ISMAIL Sabri (dua, kanan) pada Majlis Perasmian Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri (dua, kanan) pada Majlis Perasmian Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan sangat komited memacu pembangunan sektor agrikomoditi supaya lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sektor agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta Keluarga Malaysia di peringkat huluan, meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat terutama pekebun kecil sejak berdekad lalu.

Katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan agensi yang berkaitan diberikan tanggungjawab menguruskan sektor agrikomoditi secara mampan dan antara pendekatan berkesan adalah melalui pelaksanaan secara mandatori pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) bermula 2020.

"Walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk pada tahun lalu, sektor agrikomoditi tetap teguh.

"Sehingga Februari tahun ini nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Menjelang akhir tahun lalu, sektor ini mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus, berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian melancarkan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia 2022 (MIACES) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan dua Timbalan Menteri KPPK, Datuk Willie Mongin serta Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Ekspo MIACES berlangsung selama tiga hari bertemakan Memajukan Sektor Agrikomoditi Dalam Ekosistem Lestari bertujuan menjadi hab global pemain industri agrikomoditi dan pertama kali diadakan di Asia itu dianjurkan KPPK.

Perdana Menteri berkata, ia membabitkan penyertaan 39 negara dan lebih 350 syarikat antarabangsa.

"MIACES 2022 mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan produk dan teknologi berkaitan industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan menyasar MIACES 2022 mampu menjana lebih RM300 bilion nilai eksport, sekali gus menjadi platform terbaik untuk penggiat industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.

"Ini kerana ekspo ini juga akan dihadiri oleh pengeluar hasil, inovator, pelabur serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik dari 39 negara," katanya.

Beliau meluahkan keyakinan bahawa MIACES 2022 juga adalah langkah progresif menghubungkan penggiat industri kepada solusi yang inovatif, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 12:30 PM