Kemelut pandemik Covid-19 tidak hanya melumpuhkan kehidupan harian, malah menjejaskan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.

Di Malaysia, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak besar kepada sektor perladangan atas sebab kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.

Ketika ekonomi Malaysia mula bernafas dalam fasa pemulihan negara, cuaca buruk pula mengakibatkan pengeluaran minyak sawit pada 2021 jatuh ke tahap paling rendah dalam tempoh 15 tahun.

Meskipun diduga pelbagai cabaran, sektor agrikomoditi tetap berdiri teguh. Sehingga Februari tahun ini, nilai komoditi eksport meningkat 5 peratus, iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh sama pada 2021.

Menjelang akhir 2021, sektor ini mencapai nilai perdagangan RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus daripada tahun sebelumnya.

Peningkatan disumbang kenaikan nilai komoditi produk berasaskan sawit, berikutan konflik geopolitik Rusia-Ukraine.

Permintaan global yang terus meningkat mengangkat minyak sawit sebagai alternatif minyak sayuran paling popular.

Lonjakan permintaan global kepada minyak sawit, sekali gus menjadikan ia minyak sayuran paling mahal di pasaran.

Walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) baru-baru ini direkodkan lemah selepas memuncak dalam pasaran global, pakar ekonomi meramalkan harga MSM kembali meningkat separuh kedua 2022 disokong kenaikan harga minyak masak.

Komitmen ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

Dalam tempoh satu dekad ini, sektor komoditi menjadi punca pendapatan kepada 1.3 juta pekebun kecil dan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta rakyat Malaysia.

Walaupun faedah sosioekonominya luas, industri sawit dan getah Malaysia berdepan pelbagai cabaran termasuk dakwaan buruh paksa oleh media Barat yang dibuat tanpa usul periksa, sekali gus 'menghukum' industri komoditi Malaysia.

Cabaran ini seiring dengan kempen anti-minyak sawit oleh media Barat yang tidak mengiktiraf khasiat minyak sawit. Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia komited menyangkal dakwaan ini dan bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa antarabangsa serta memberi komitmen berterusan terhadap amalan pertanian mampan dan progresif.

Capai momentum dengan MIACES 2022

Peranan pasaran pesat membangun seperti Malaysia terbukti penting dan kritikal dalam rantaian bekalan global.

Walaupun permintaan pasaran semasa tinggi hasil kemelut geopolitik membantu merancakkan sektor agrikomoditi negara, pemain industri harus peka dalam mencari solusi inovatif untuk jangka masa panjang.

Pengamalan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi meletakkan Malaysia di kedudukan strategik bagi memacu pembangunan sektor agrikomoditi, berdaya saing dan berorientasikan pasaran selaras dengan peningkatan penggunaan pasca Covid-19.

Memanfaatkan momentum pasaran dunia, Ekspo & Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 membuka peluang kepada peserta industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.

MIACES 2022 menyaksikan penyertaan lebih 20 negara dan dijangka menawarkan lebih RM300 bilion nilai eksport.

Berlangsung dari 26 hingga 28 Julai di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) Kuala Lumpur, MIACES 2022 adalah pusat sehenti menyambungkan rantaian bekalan dan permintaan merentasi ekosistem tempatan serta global secara keseluruhannya daripada pengeluar hasil, inovator, pelaburan serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik.

MIACES 2022 juga langkah progresif menghubungkan penggiat industri kepada solusi yang inovatif, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

MIACES 2022 dianjurkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dengan sokongan barisan majlis di bawah bidang kuasanya, iaitu Majlis Getah Malaysia (MRC), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan disokong 9 agensi dan majlis lain iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (MCB), Lembaga Lada Malaysia (MPB), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (NKTB), Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Sebarang pertanyaan atau minat turut serta sebagai pempamer atau penaja, hubungi Sekretariat MIACES di [email protected]. Sebagai alternatif, boleh imbas Kod QR untuk pendaftaran. Maklumat lanjut di shorturl.at/hmrt5

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 7:01 AM