PENGARAH Perbankan Runcit Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden (tiga dari kiri) bersama pemenang Kempen Suria.
PENGARAH Perbankan Runcit Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden (tiga dari kiri) bersama pemenang Kempen Suria.

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd terus konsisten menggalakkan pelanggan memupuk tabiat menyimpan dan melabur secara aktif dan merancang kewangan menerusi kempen terbaharunya, Super Saver, Superb Prizes.

Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, kempen itu dianjurkan bermula 1 Ogos 2022 hingga 31 Januari 2023 yang menawarkan 1,242 hadiah keseluruhan bernilai RM1.74 juta untuk dimenangi.

Katanya kempen itu dianjurkan berdasarkan sambutan hangat daripada penganjuran kempen Akaun Pelaburan Tidak Terhad Mudarabah (Suria) sebelum ini yang menarik penyertaan sekitar 30,000 pelanggan dengan nilai simpanan dan pelaburan berjumlah RM300 juta sepanjang kempen berlangsung.

"Kempen Suria yang diadakan pada 1 Ogos 2021 hingga 31 Julai 2022 menawarkan lebih 1,200 hadiah bernilai RM2.8 juta selaras komitmen Bank Muamalat untuk memupuk tabiat menyimpan dan melabur dalam kalangan masyarakat," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Kempen Suria di sini, semalam.

Bagi kempen Super Saver, Superb Prizes, katanya, kempen itu terbuka kepada pelanggan Bank Muamalat yang merangkumi Akaun Simpanan-i Tawarruq dan Suria yang menawarkan hadiah antaranya wang tunai RM1 juta serta dua kereta iaitu Honda City dan Honda CRV.

"Kami berharap kempen Super Saver, Superb Prizes ini menggalakkan lebih ramai pelanggan membuka akaun simpanan selain memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pelaburan dan faedahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 7:18 AM