ZURY Rahimee (kanan) menyerahkan hadiah utama kepada Shahruddin pada majlis perasmian kempen Ar-Rahnu, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ZURY Rahimee (kanan) menyerahkan hadiah utama kepada Shahruddin pada majlis perasmian kempen Ar-Rahnu, semalam. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suliati Asri


KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan pertumbuhan nilai gadaian sebanyak RM50 juta menerusi Kempen Jom Pindah Ar-Rahnu & Menang 1 Kg Emas.

Kempen ini adalah siri kedua diperkenalkan Bank Muamalat berlangsung selama 10 bulan bermula sekarang sehingga Mac 2020 ini.

Ketua Jabatan Perbankan Pengguna Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, pihaknya menjangka jumlah pelanggan mampu mencecah 50,000 orang berbanding 27,000 ketika ini.

Katanya, sebagai perbankan Islam sepenuhnya, perkhidmatan Ar-Rahnu bertujuan menghindar masyarakat khususnya umat Islam terjebak menggunakan khidmat pajak gadai konvensional yang mempunyai unsur riba untuk keperluan tunai.

“Kempen ini dijangka menarik ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan Ar-Rahnu di Bank Muamalat yang terbukti lebih telus dengan kadar upah simpan lebih rendah berbanding pajak gadai konvensional lain,” katanya.

Menerusi kempen ini, Bank Muamalat menawarkan 1 kilogram (kg) kepingan emas (999) sebagai hadiah utama, 100 gram kepingan emas (999) (kedua) dan 50 gram kepingan emas (999) (ketiga).

Bank Muamalat turut menawarkan hadiah berupa kepingan emas (999) secara bulanan kepada 200 pelanggan terpilih sepanjang kempen berlangsung bagi menarik ramai pelanggan menggunakan perkhidmatan Ar-Rahnu.

Kempen Jom Pindah Ar-Rahnu & Menang 1KG Emas adalah siri kedua selepas kejayaan siri pertama Kempen Ar-Rahnu & Menang yang diadakan 1 Ogos 2018 hingga 31 Mac 2019.

Zury berkata, menerusi kempen pertama itu Ar-Rahnu Bank Muamalat mencatat pertumbuhan nilai gadaian sebanyak RM26.9 juta sepanjang tempoh kempen dengan purata pertambahan akaun baharu 2,700 sebulan.

Pada majlis itu, Bank Muamalat turut menyampaikan hadiah kepada pemenang siri pertama kempen Ar-Rahnu iaitu hadiah utama berupa Muamalat Gold Akaun bernilai 1kg emas yang dimenangi Shahruddin Mohamad Nor diikuti Abd Ghani Abdullah yang memenangi Muamalat Gold Akaun bernilai RM8,000 dan ketiga, Muamalat Gold Akaun bernilai RM5,000 dimenangi P Selva Kumaran.

Bank Muamalat menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu di 64 cawangan di seluruh Malaysia dengan pinjaman 80 peratus daripada nilai emas semasa.

Ia turut memberi had pinjaman sehingga RM500,000 bagi setiap pelanggan dan upah simpan yang rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 7:33 AM