ZURY Rahimee (kiri) ) melakukan gimik pelancaran Akaun Pengurusan Persendirian dan Dana Unit Amanah Digital. - Gambar NSTP/FATHIL ASRI
ZURY Rahimee (kiri) ) melakukan gimik pelancaran Akaun Pengurusan Persendirian dan Dana Unit Amanah Digital. - Gambar NSTP/FATHIL ASRI

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan untuk menarik pelaburan sebanyak RM100 juta menerusi Akaun Pengurusan Persendirian dan amanah saham digitalnya dalam tempoh lima tahun.

Pengarah Perbankan Runcit, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, pihaknya percaya jumlah itu dapat dicapai terutama menerusi kerjasama antara Bank Muamalat dan Phillip Capital Group Malaysia (PCGM) bagi menyediakan Akaun Pengurusan Persendirian dalam talian patuh Syariah dan dana unit amanah melalui saluran pengedaran Bank Muamalat.

Katanya, selaras dengan peralihan pilihan pelanggan ke arah akses digital dan pengurusan pelaburan sofistikated, kerjasama strategik itu dijangka membolehkan produk pelaburan sofistikated mampu milik boleh diakses bukan sahaja kepada pelanggan berprofil tinggi Bank Muamalat, tetapi juga pelanggan pasaran awam.

"Ini produk pertama ditawar Bank Muamalat membolehkan pelanggan melabur melalui dana simpanan mereka serendah RM5,000.

"Penambahan produk pengurusan persendirian di Bank Muamalat berlaku pada masa tepat kerana aktiviti pasaran terus terjejas akibat isu ekonomi global menjadikan sekarang masa sesuai untuk melabur.

"Bank Muamalat bank pertama di Malaysia bekerjasama dengan PCGM dan menawarkan pelaburan Akaun Pengurusan Persendirian dan amanah saham dengan memanfaatkan kepakaran platform digital diuruskan PCGM.

"Ini akan melengkapkan visi kami menjadi penyedia penyelesaian sehenti, bagi keperluan pelaburan pelanggan kami," katanya di majlis memeterai kerjasama strategik Bank Muamalat dan PCGM.

Akaun Pengurusan Persendirian (Private Managed Accounts), perkhidmatan pelaburan profesional di mana pelaburan pelanggan diurus dan dipantau pengurus pelaburan peribadi dan secara asasnya ditawar kepada pelanggan bernilai tinggi dengan kos pelaburan agak mahal.

Namun, Bank Muamalat yang sentiasa berpandukan prinsip Maqasid Shariah bukan hanya menyasarkan pelanggan bernilai tinggi, tetapi dibuka kepada semua golongan masyarakat yang inginkan pengurusan pelaburan yang lebih canggih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 7:01 AM