Tinjauan harga ayam sempena Pembukaan Pasaraya NSk Cheras. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Tinjauan harga ayam sempena Pembukaan Pasaraya NSk Cheras. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Syarikat rangkaian pasar raya, NSK Trade City Sdn Bhd menawarkan pelbagai diskaun sempena pembukaan cawangan Pasar Raya Besar NSK ke-31 di NSK Cheras Batu 9, bermula hari ini hingga 30 Januari.

Pengarah NSK Trade City, Kenny Chen berkata, orang ramai mula memenuhi pasar raya berkenaan seawal 6.30 pagi bagi mendapatkan tawaran hebat di Pasaraya Besar NSK Cheras Batu 9.

"Kami menawarkan ayam segar serta limau Mandarin empat kilogram (kg) kepada 500 keluarga yang terawal datang membeli di pasar raya kami.

"Bagi pelanggan yang baru mendaftar keahlian N-Kad bersama kami, dengan yuran pendaftaran RM10, mereka layak untuk mendapatkan Beras NSK 5kg dengan harga serendah RM1 sahaja.

"Di cawangan NSK Cheras Batu 9 juga, kami menyediakan 30 kaunter bayaran untuk memberikan pengalaman pembelian yang terbaik untuk pelanggan Pasaraya Besar NSK," katanya.

Chen berkata, pihaknya memilih Cheras sebagai cawangan yang ke-31 adalah kerana lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan kawasan perumahan, serta belum ada lagi cawangan pasar raya di kawasan terbabit.

"Cawangan kami di Pasar Raya Besar NSK Cheras Batu 9 ini adalah yang pertama untuk tahun ini dan berkeluasan sehingga hampir 300,000 kaki persegi.

"Dengan keluasan ini, kami boleh memuatkan pelbagai rangkaian produk barang dapur, keperluan isi rumah, produk segar dengan harga yang berpatutan untuk pelanggan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 3:53 PM