IMPAK jangka pendek mungkin membabitkan permintaan automotif lebih lemah.
IMPAK jangka pendek mungkin membabitkan permintaan automotif lebih lemah.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Harga jualan kenderaan dijangka menurun sebanyak dua hingga tiga peratus sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula pada kadar enam peratus.

Langkah berkenaan untuk menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan penjimatan cukai berkenaan dialihkan kepada pengguna sama seperti pelaksanaan GST yang pertama pada 2015.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Eddy Do Wey Qing berkata, bagaimanapun, impak jangka pendek mungkin membabitkan permintaan automotif lebih lemah kerana pembelian barangan keperluan pengguna yang mahal mungkin terjejas secara tidak langsung oleh kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain.

"Perbincangan pasaran menunjukkan pengenalan semula GST mungkin berlaku bagi menggantikan SST sekarang, sebagai cara untuk mengembangkan asas cukai Malaysia dan meningkatkan hasil kerajaan.

"Menurut laporan media, pengutipan cukai tahunan purata kira-kira RM40 bilion ketika sistem GST dijalankan berbanding dengan kutipan tahunan sebanyak RM25 bilion ketika SST.

"Meskipun Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membuat kenyataan GST mungkin tidak akan diperkenalkan semula pada belanjawan kebangsaan 2022 yang akan datang, kami tidak dapat menolak kemungkinan ia kembali dilaksanakan kelak," katanya dalam nota penyelidikan.

Menurutnya, apabila GST berkadar enam peratus dikuatkuasakan pada April 2015 untuk menggantikan SST 10 peratus, jumlah jualan industri (TIV) pada bulan berkenaan jatuh 33 peratus dari bulan ke bulan (MoM).

"TIV tinggi sebanyak 67,314 unit pada Mac 2015 disebabkan oleh pengguna yang membuat pembelian kenderaan lebih awal daripada pelaksanaan GST berikutan ketidaktentuan harga kenderaan selepas GST dan mereka mungkin ingin mendapatkan nilai penjualan semula yang lebih baik untuk kenderaan terpakai mereka.

"Selepas pelaksanaan GST, harga bagi kebanyakan model kereta menurun sebanyak satu hingga tiga peratus. Dengan mengambil kira semua ini, kami jangkakan harga kereta merosot sebanyak satu hingga tiga peratus jika GST enam peratus diperkenalkan semula.

"Namun, pembelian berlebihan sebelum pelaksanaan GST mungkin tidak akan berlaku sekiranya kami andaikan tiada kempen jualan dan promosi diadakan secara agresif sebelum GST dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, walaupun potensi penurunan harga kereta selepas GST ialah satu faktor positif, pihaknya percaya perubahan tidak begitu ketara bagi pengguna.

"Kuantum penjimatan cukai yang dialihkan kepada pengguna juga akan dipengaruhi oleh kadar tukaran asing (FX) semasa.

"Namun, jika harga barangan dan perkhidmatan lain menaik selepas GST, pengguna yang ingin membuat pembelian barangan mahal mungkin berubah fikiran dalam jangka pendek," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat implikasi negatif sekiranya langkah ini dilaksanakan termasuklah kelulusan bank terhadap pembiayaan kereta semakin ketat, nilai mata wang ringgit semakin lemah, normalisasi permintaan lebih perlahan daripada jangkaan selepas pengecualian SST pada hujung tahun ini, gangguan berpanjangan dalam bekalan cip semikonduktor dan pelaksanaan sekatan pergerakan yang seterusnya sekiranya kenaikan jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 7:10 AM