Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang hari ini. FOTO BERNAMA
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang hari ini. FOTO BERNAMA
Baharom Bakar


Jertih: Umno tidak perlu mendiamkan diri, sebaliknya bersedia bertindak menangkis setiap isu dibangkitkan parti pembangkang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PAS dan BERSATU menguasai kerusi di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Perlis dan Kedah bukan disebabkan kekuatan jentera, sebaliknya berpunca daripada kelemahan parti.

Katanya, punca kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kerana kelemahan strategi.

"Kegagalan Umno menguasai empat negeri pada PRU lalu disebabkan ada kalangan ahli yang melemahkan sesama sendiri.

"Kita perlu mengubah strategi dan tidak terlalu memberi tumpuan kepada politik pembangunan dan perkhidmatan, sebaliknya perlu bersedia menangani setiap isu dibangkitkan parti lawan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Besut di Kem Seri Keluang Resort, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Pengerusi UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat, Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan Bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, UMNO perlu membentuk jawatankuasa khas yang bertanggungjawab untuk menangani semua isu dibangkitkan parti pembangkang.

Katanya, seluruh pimpinan Umno perlu berubah dan manfaatkan pelbagai kemudahan jika ingin mengembalikan kegemilangan parti.

"Umno dan BN gemilang ketika parti itu diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik sebagai Presiden bermula tahun 2003 hingga 2009.

"Umno Terengganu juga mampu mengulangi kegemilangan seperti diterajui Idris yang dilantik sebagai Pengerusi BN negeri pada tahun 2018 apabila berjaya merampas negeri daripada terus dikuasai PAS pada tahun 2004," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:27 PM