S RAVIVARMA (tiga dari kiri) bersama atlet terbaik Kejohanan Finswimming Peringkat Umur Negeri Sembilan 2024 di Pusat Akuatik Paroi, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
S RAVIVARMA (tiga dari kiri) bersama atlet terbaik Kejohanan Finswimming Peringkat Umur Negeri Sembilan 2024 di Pusat Akuatik Paroi, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persatuan Finswimming Malaysia (MFSA) berharap lebih banyak negeri dapat mewujudkan persatuan sukan berkenaan bagi membolehkan acara itu dapat dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada masa hadapan.

Presidennya, S Ravivarma berkata, syarat untuk finswimming layak dipertandingkan di temasya Sukma ialah sekurang-kurangnya penyertaan tujuh negeri, namun syarat itu tidak dapat dipenuhi ketika ini susulan hanya lima negeri yang mempunyai persatuan sukan berkenaan.

Katanya, finswimming adalah sukan baharu dengan MFSA ditubuhkan pada tahun 2021.

"Setakat ini terdapat lima negeri yang sudah mempunyai persatuan finswimming masing-masing membabitkan Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

"Kita berharap dapat menubuhkan lebih banyak persatuan sukan ini di negeri-negeri lain, namun Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang dalam proses pendaftaran persatuan dan dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

"Jika proses pendaftaran ini selesai, mungkin acara finswimming berpeluang dipertandingkan pada Sukma 2026 kerana dapat memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jawatankuasa Tertinggi Sukma," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai Kejohanan Finswimming Peringkat Umur Negeri Sembilan 2024 di Pusat Akuatik Paroi, di sini, hari ini.

Ravivarma yang juga Presiden Finswimming Negeri Sembilan berkata, walaupun masih baharu, namun finswimming sudah menempa nama di pentas antarabangsa apabila atlet kebangsaan meraih pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja tahun lalu.

Beliau percaya melalui penubuhan persatuan sukan ini di negeri-negeri, usaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf kebangsaan dan antarabangsa akan dapat dicapai.

"Dengan adanya persatuan sukan ini di peringkat negeri, akan memudahkan pelbagai pihak terutama KBS dan Majlis Sukan Negeri untuk membantu terutama dalam soal dana bagi penganjuran program pembangunan dan kejohanan.

"Ketika ini MFSA mendapat sokongan daripada KBS melalui geran padanan sukan selain dana sukan komuniti dan kepimpinan setempat seperti Ahli Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:37 PM