Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di Dewan Umno Bangunan Umno Negeri di Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ipoh Barat di Dewan Umno Bangunan Umno Negeri di Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sebanyak 2,500 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) sudah beroperasi di negara ini daripada 10,000 sasaran yang diletakkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sehingga akhir 2025, kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, peningkatan drastik yang dicatatkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan itu disumbangkan antaranya daripada kelonggaran birokrasi apabila kelulusan pengoperasiannya di peringkat awal perlu membabitkan banyak agensi serta kementerian.

Menurutnya, sasaran 10,000 stesen yang diletakkan masih sama sehingga kini namun fokus dan penumpuan diberikan lebih kepada pengecasan jenis arus terus (DC) berbanding jenis arus ulang-alik (AC) disebabkan faktor permintaan.

"Mula-mula ada cabaran dari segi kelulusan, tetapi mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berjaya mengurangkan birokrasi kerana ia membabitkan begitu banyak agensi dan kementerian.

"Alhamdulillah sudah dipercepatkan. Tetapi saya rasa dengan perkembangan terbaru ini saya hendak sasaran yang agresif ini diteruskan. Mungkin sasaran yang saya suruh kaji semula ialah jenis DC yang kita kena banyakkan lagi.

"Pada masa ini dikekalkan, yang ditambahkan mungkin dalam 10,000 itu kita banyakkan sedikit bagi pengecasan jenis DC walaupun kosnya tinggi. Berdasarkan tinjauan, permintaan rakyat melihat jenis DC lebih bagus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri sekali gus merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ipoh Barat di Dewan Bangunan UMNO Perak, di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 9:01 PM