Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sedang media pada Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2024 di DCC IDEAL Convention Centre Selayang. FOTO ASWADI ALIAS
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sedang media pada Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 2024 di DCC IDEAL Convention Centre Selayang. FOTO ASWADI ALIAS
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Selayang: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan lima nama pimpinan tertinggi dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada Oktober ini.

Muhyiddin berkata, jawatan Timbalan Presiden Bersatu dicadangkan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersetuju untuk 'berundur' satu tapak ke belakang dan menawarkan diri bertanding Naib Presiden.

Katanya, beliau juga tidak mempunyai masalah penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin menawarkan diri mempertahankan jawatan mereka.

"Ini sebagai satu formula yang saya gunakan sebagai mengiktiraf sumbangan Peja (Ahmad Faizal) sejak dahulu sebagai pengasas parti yang masih lagi muda dan bertenaga.

"Dia bersedia untuk melepaskan jawatan itu dan tak bertanding kerana memberikan ruang dan peluang Datuk Hamzah untuk mengambil tugas sebagai Timbalan Presiden.

"Ini atas dasar mengiktiraf tentang peranan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), tak kurang penting juga beliau sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen yang banyak pengaruh dan hubungan akrab dengan parti komponen lain seperti Pas. Semua kita ambil kira," katanya dalam sidang medianya selepas Konvensyen Bersatu di IDCC Selayang, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi jawatan Setiausaha Agung, pihaknya mencadang dan menawarkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan seorang tokoh penting, mampu menjalankan tugasnya dan berpengalaman dalam politik.

Ahli Parlimen Pagoh itu dalam masa sama menegaskan, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya ada pihak lain berhasrat untuk bertanding lima jawatan tertinggi itu.

"Kalau ada antara kalangan mereka masih lagi berhasrat untuk bertanding, itu adalah hak mereka," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, cadangan nama dikemukakan itu adalah untuk memberikan sedikit harapan kesemua jawatan berkenaan disusun lebih awal supaya suhu kempen tidak 'terlalu panas'.

"Lebih-lebih lagi kita sedar, parti Bersatu berhadapan dengan macam-macam cabaran. Sekarang ini (Pilihan Raya Kecil) Nenggiri. Isu soal enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Selat Klang yang diputuskan oleh Speaker juga cabaran bagi kita.

"Tak tahulah apa yang akan jadi kemudian. Banyak lagi Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka mungkin akan berlaku tahun depan. Selepas itu Sarawak, Johor (dan) Melaka. Semua ini saya ambil kira.

"Walaupun ada pemilihan tak apalah, jangan pemilihan itu jadi satu gangguan yang menyebabkan kita tidak berikan tumpuan pada soal parti, pilihan raya dan sebagainya," katanya.

Muhyiddin berkata, apa yang dicadangkan olehnya itu adalah cara pihaknya mententeramkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:20 PM