Tengku Razaleigh Hamzah. FOTO Paya Linda Yahya
Tengku Razaleigh Hamzah. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Umno yakin dengan meletakkan calon daripada golongan muda mampu menawan kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau yakin dengan kepimpinan dan ketokohan pemimpin muda mampu menawan kembali DUN Nenggiri.

Katanya, dengan jumlah lebih 60 peratus pengundi muda di DUN Nenggiri, dengan meletakkan calon dari kalangan orang muda akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

"Kita rasa orang muda patut ambil bahagian dalam PRK ini. Kita yakin keputusan ini tepat kerana sebanyak 62.5 peratus pengundi di DUN Nenggiri adalah terdiri daripada golongan muda.

"Kita sudah mencadangkan tiga nama yang kesemuanya adalah calon muda," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang 2024 di Balai Rakyat Bukit Cekati, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, tiga nama disenaraikan UMNO Gua Musang untuk diangkat kepada pimpinan parti sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, pada 17 Ogos nanti.

Tiga nama berkenaan ialah Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Ketua Penerangan UMNO Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan 3 dan 13 Ogos depan.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian BERSATU apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:16 PM