PEMAIN pertahanan Sri Pahang FC, Fadhli Shas (kanan) cuba menghalang pemain Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh. FOTO SRI PAHANG FC
PEMAIN pertahanan Sri Pahang FC, Fadhli Shas (kanan) cuba menghalang pemain Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh. FOTO SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Negeri Sembilan FC (NSFC) mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh sebentar tadi.

Dua gol itu, masing-masing satu dijaringkan pada setiap babak oleh pemain tengah, R Barathkumar pada minit ke-24 dan Takumi Sasaki pada masa kecederaan di babak kedua.

Kejayaan itu juga adalah kemenangan pertama buat skuad kendalian Azzmi Ab Aziz selepas tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini manakala kekalahan kedua berturut-turut dialami skuad Tok Gajah selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul ta'zim (JDT) pada 22 Jun lalu.

Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan bermula cemerlang sebaik perlawanan bermula apabila memiliki peluang menjaringkan gol penyamaan daripada rembatan penyerang import, Junco Martinez tetapi bola tepat ke arah penjaga gol tuan rumah, Zarif Irfan Hashimuddin seawal minit keempat.

Pada minit ke-12, pemain tengah, Mohamad Izzudin Roslan pula hampir membantu pasukannya menambah jaringan tetapi bola sepakannya sedikit melepasi palang.

Tuan rumah turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi pertahanan import, Aleksandar Cvetkovic yang melakukan sepakan lencong tetapi bola terkena tiang di sebelah kanan lawan.

Bagaimanapun, pelawat berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi pemain tengah, Barathkumar selepas menewaskan Zarif Irfan pada minit ke-24.

Sri Pahang yang ketinggalan berusaha untuk memberikan tekanan kepada Negeri Sembilan tetapi pertahanan kental lawan menyekat tuan rumah untuk mendapatkan gol penyamaan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah yang memerlukan jaringan penyamaan menggandakan asakan ke kubu lawan yang dilihat kekal bertahan dan menyekat percubaan berbahaya.

Peluang terbaik Sri Pahang hadir tetapi tandukan David Rowley menerusi hantaran Nor Azam Azih sedikit tersasar tiang sebelah kanan lawan.

Ketika tuan rumah berusaha untuk mencari gol penyamaan pada masa kecederaan, Negeri Sembilan dihadiahkan penalti dan Sasaki berjaya menyempurnakannya untuk memastikan skuad itu menewaskan Sri Pahang 2-0, sekali gus membawa pulang tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:11 PM