GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Perlakuan tidak senonoh seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya di hadapan wanita mengundang padah apabila dia ditahan polis jam 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek berusia 29 tahun itu susulan laporan dibuat mangsa jam 10.12 pagi semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan di buat mangsa, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi berhampiran kawasan rekreasi di Jalan Persisiran, dekat sini, ketika sedang menunggu anak saudaranya pulang dari sekolah.

"Mangsa dalam laporannya mendakwa suspek dikatakan meletakkan kenderaan di belakang kereta mangsa sebelum secara tiba-tiba menunjukkan kemaluannya ke arah mangsa.

"Risau akan keselamatan dan perbuatan suspek itu, mangsa kemudiannya segera masuk semula ke dalam kereta sebelum suspek dilihat beredar dari kawasan berkenaan," katanya.

Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:36 PM