Lokasi lelaki ditemui lemas selepas tergelincir di muara Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek, Sepang, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Lokasi lelaki ditemui lemas selepas tergelincir di muara Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek, Sepang, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjatuh akibat tergelincir di muara Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.14 petang tadi.

"Seramai 13 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang serta anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Shah Alam dan PPDA KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki berusia 27 tahun tergelincir dan terjatuh di muara pantai berkenaan berdasarkan maklumat daripada rakannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa ditemui jam 6.18 petang tadi berhampiran bot nelayan pada jarak 20 meter dari lokasi lelaki terbabit dilaporkan terjatuh.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:31 PM