ANG (dua dari kiri) merasmikan A&Wesome Festival di A&W Petaling Jaya.
ANG (dua dari kiri) merasmikan A&Wesome Festival di A&W Petaling Jaya.
Oleh Nabil Basaruddin


PETALING JAYA: A&W Malaysia Sdn Bhd, rangkaian restoran perkhidmatan pantas yang dikendalikan Inter Mark Resources Sdn Bhd memperuntukkan belanja modal RM22 juta bagi memantapkan operasi dan jenama A&W yang mula berada di negara ini sejak 56 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif A&W Malaysia, George Ang berkata, peruntukan berkenaan digunakan bagi membuka sekitar 16 hingga 18 cawangan baharu untuk sepanjang tahun depan serta melancarkan kios pencuci mulut A&W dalam tempoh empat bulan lagi.

Beliau berkata, bagi pembukaan cawangan baharu, pihaknya akan mengenal pasti beberapa lokasi berpotensi di seluruh negara serta menaik taraf restoran A&W yang ikonik dengan wajah yang lebih moden dan selesa.

“Setakat ini, kami mempunyai 48 cawangan A&W dan satu lagi akan dibuka pada Disember ini, sekali gus menjadikannya kepada 49 restoran pada hujung tahun ini.

“Untuk tahun depan, sasaran kami untuk melancarkan sekitar 16 hingga 18 restoran baharu, seterusnya merealisasikan sasaran 100 cawangan menjelang 2021,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran A&Wesome Festival, di sini.

Ang berkata, perancangan untuk memperkenalkan kios pencuci mulut A&W itu adalah sebagai pelan pertumbuhan bagi jenama itu yang akan dibuka di pusat beli-belah terkemuka tidak lama lagi.

Menurutnya, kios berkenaan menawarkan menu berbeza berbanding yang ditawarkan di restoran seperti Waffle To Go iaitu hidangan wafel bersama aiskrim serta Float on Cone, sorbet Root Beer dengan aiskrim vanila lembut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 9:55 AM