PELBAGAI aksi dalam A Quiet Place: Day One pasti mendebarkan penonton.
PELBAGAI aksi dalam A Quiet Place: Day One pasti mendebarkan penonton.

FILEM: A Quiet Place: Day One

PENGARAH: Michael Sarnoski

PENULIS SKRIP: Michael Sarnoski

PELAKON: Lupita Nyong'o, Joseph Quinn, Alex Wolff, Djimon Hounsou

TERBITAN: Platinum Dunes, Sunday Night Productions

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

FILEM A Quiet Place: Day One membawa kita kembali ke dunia yang sunyi dan mencemaskan, di mana setiap bunyi boleh membawa maut.

Mengambil latar di kota New York, filem ini mengisahkan mengenai serangan makhluk asing yang menyerang setiap objek yang mengeluarkan bunyi.

Dalam situasi yang pelik dan mengerikan ini, manusia terpaksa hidup dalam keadaan diam, tanpa boleh mengeluarkan sebarang bunyi, untuk memastikan keselamatan nyawa mereka.

Filem ini bermula dengan suasana tenang di tengah-tengah kota yang sibuk, membawa penonton menyelami jiwa sekumpulan pesakit kanser yang cuba berhibur di teater patung, yang kemudiannya berubah menjadi kacau-bilau apabila makhluk asing tiba-tiba menyerang.

Pengarah, Michael Sarnoski berjaya memanfaatkan latar kota New York untuk menambahkan elemen seram dan mendebarkan dalam filem ini. Kehidupan harian yang normal berubah sekelip mata apabila ancaman makhluk asing menjadi nyata.

Penduduk kota yang sibuk dan tidak bersedia terpaksa berdepan dengan serangan ini dengan cara yang sangat berbeza daripada yang pernah mereka bayangkan.

Babak aksi dalam A Quiet Place: Day One sangat mencemaskan dan membuatkan adrenalin mengalir deras. Setiap kali watak-watak dalam filem ini cuba untuk mengelakkan bunyi, penonton turut merasai debaran dan ketegangan yang sama.

Penonton dapat merasai bagaimana cemasnya mereka yang berada dalam situasi itu. Kesan bunyi dalam filem ini sangat berkesan, menjadikan setiap detik sunyi penuh dengan jangkaan dan ketakutan.

Jalan cerita filem ini turut membuatkan penonton berfikir mengenai cara untuk menyelamatkan diri daripada makhluk asing ini. Setiap keputusan yang diambil oleh watak-watak dalam filem ini memerlukan pemikiran yang cepat dan bijak.

Penonton diajak untuk merenung dan memikirkan tindakan yang mereka sendiri akan ambil jika berada dalam situasi yang sama. Ini menjadikan filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu pengalaman yang mencabar minda.

Salah satu babak yang paling beremosi dalam filem ini ialah apabila kucing milik Sam, lakonan Lupita Nyong'o, hilang selepas serangan pertama. Babak ini sangat menyentuh hati, memperlihatkan kehilangan dan kesedihan dalam keadaan yang sudah sedia mencemaskan.

ANTARA babak dalam filem A Quiet Place: Day One.
ANTARA babak dalam filem A Quiet Place: Day One.

Babak yang paling beremosi dalam filem ini adalah apabila Sam 'mengorbankan' dirinya untuk membantu Reuben, lakonan Alex Wolff, menyelamatkan diri dan melarikan diri ke bot bersama kucing miliknya.

Pengorbanan ini menonjolkan nilai kemanusiaan dan kasih sayang yang masih wujud walaupun dalam keadaan yang paling sukar. Babak ini bukan sahaja mengharukan, tetapi juga menunjukkan keberanian dan ketabahan manusia dalam menghadapi ancaman yang mengerikan.

Filem A Quiet Place: Day One sedikit sebanyak mengimbau filem A Quiet Place (2018) dan A Quiet Place Part II (2020), walaupun ia datang dari sisi, perspektif, lokasi, dan kumpulan individu yang berbeza. Perjuangan mereka tetap sama iaitu untuk menyelamatkan nyawa daripada serangan makhluk asing.

Filem ini berjaya mengekalkan tema utama siri ini, iaitu 'survival' dan ketabahan manusia dalam menghadapi ancaman yang tidak diketahui.

Dengan itu, A Quiet Place: Day One adalah sebuah karya yang patut dihargai dan diiktiraf. Ia adalah satu tambahan yang hebat kepada siri A Quiet Place dan pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada semua yang menontonnya.

Semoga filem ini terus menginspirasi dan mengingatkan kita mengenai kekuatan dan ketabahan manusia dalam menghadapi segala cabaran yang datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 6:30 AM