Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: KUB Malaysia Berhad (KUB) terus mengukuhkan sektor makanan dan minumannya menerusi pembukaan cawangan baru A&W Malaysia di sekitar Lembah Klang menjelang separuh kedua tahun ini.

Presiden dan Pengarah Urusan KUB, Datuk Abdul Rahim Mohd Zin berkata, pihaknya merancang membuka lima cawangan baru A&W Malaysia.

Katanya, perancangan itu dijangka membabitkan perbelanjaan modal RM8 juta.

“Kami sangat teliti dalam pemilihan lokasi kerana kami mahu memastikan setiap cawangan dibuka memberi pertumbuhan positif.

“Tahun lalu, kita mengenal pasti beberapa lokasi strategik membuka cawangan dan ia dilihat memberi keuntungan.

“Sekarang kita mempunyai 38 rangkaian A&W Malaysia dan kita jangka akhir tahun ini sekurang-kurangnya keseluruhan menjadi 42 cawangan,” katanya kepada Bisnes NSTP di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, sektor makanan dan minuman (F&B) menyumbang kira-kira 10 peratus kepada hasil kumpulan.

Abdul Rahim berkata, dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu pada masa ini pihaknya tidak meletakkan sebarang unjuran bagi sektor F&B, namun KUB yakin akan berada di kedudukan lebih kukuh pada masa hadapan.

Beliau berkata, pada suku pertama tahun kewangan 2018, sektor F&B merekodkan pertumbuhan 16 peratus dengan jumlah RM15.1 juta berbanding suku pertama 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 9:34 AM