Abdul Rahim (dua dari kanan) bersama ahli lembaga pengarah KUB Malaysia selepas AGM syarikat, semalam.
Abdul Rahim (dua dari kanan) bersama ahli lembaga pengarah KUB Malaysia selepas AGM syarikat, semalam.
Alzahrin Alias

Shah Alam: KUB Malaysia Bhd (KUB) menjangka perjanjian penjualan anak syarikat milik penuhnya, A&W (Malaysia) Sdn Bhd dapat dimuktamadkan hujung tahun ini.

Presiden dan Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Abdul Rahim Mohd Zin berkata, hasil penjualan itu akan digunakan bagi membiayai perniagaan teras KUB.

Abdul Rahim berkata, setakat ini pihaknya mendapat tawaran lebih daripada 10 pembeli terdiri daripada syarikat tempatan dan antarabangsa yang berminat membeli A&W.

“Ada antaranya firma ekuiti termasuk syarikat yang terbabit dalam industri makanan dan minuman.

“Namun, kami belum memutuskan untuk menjual A&W kepada sesiapa dan mengenal pasti pembeli berpotensi.

“Beberapa perkara membuatkan transaksi itu tidak dapat diputuskan ialah daripada segi pembayaran, selain tidak menepati penilaian harga jualan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KUB di sini, semalam.

Nilai jualan rangkaian makanan segera A&W yang beroperasi di bawah KUB dianggarkan 10 kali daripada aliran tunainya tidak termasuk diskaun 20 hingga 30 peratus yang bakal diberikan dalam perjanjian jualan.

KUB mengambil alih operasi A&W di Semenanjung Malaysia pada 2001. Pada 2015, KUB mengemukakan cadangan penjualan sehingga kini.

Abdul Rahim berkata, walaupun pihaknya ingin melupuskan pegangan dalam A&W namun masih perlu mematuhi perjanjian francais yang memerlukannya membuka 50 cawangan A&W menjelang 2019.

Beliau berkata, ketika ini A&W mempunyai 40 cawangan dan bakal membuka sebuah lagi cawangan baru minggu hadapan.

“Kita sasarkan buka tujuh atau lapan lagi cawangan tahun ini dengan peruntukan RM500,000 hingga RM1 juta bagi setiap cawangan,” katanya.

Selain itu, Abdul Rahim berkata, KUB dalam proses akhir menentukan sama ada bakal menjual atau menjalin kerjasama strategik membangunkan semula kawasan hartanah miliknya seluas 1.05 ekar di Petaling Jaya yang menempatkan restoran makanan segera A&W dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM245 juta.

Beliau berkata, KUB akan memuktamadkan proses itu hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 1:24 AM