ANG merasmikan A&Wesome Festival di A&W Petaling Jaya.
ANG merasmikan A&Wesome Festival di A&W Petaling Jaya.

A&W Malaysia, pengendali jenama restoran makanan segera A&W memperuntukkan perbelanjaan modal RM110 juta bagi meningkatkan jumlah cawangannya kepada 124 cawangan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, George Ang berkata, tahun ini sahaja syarikat merancang bagi membuka 20 lagi cawangan baharu dengan peruntukan RM22 juta.

“Setiap tahun, kami menetapkan peruntukan modal RM22 juta bagi pembukaan 20 hingga 22 cawangan termasuk kios pencuci mulut di beberapa pusat beli-belah dan runcit terkemuka di seluruh negara dengan purata kos bagi setiap cawangan antara RM1 juta hingga RM1.2 juta

“Pada masa ini, terdapat 49 cawangan A&W yang terletak di Semenanjung Malaysia di lokasi seperti Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pahang dan Terengganu,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian A&W Malaysia dengan A Great American Brand International (AGABI), di sini.

Ang memeterai perjanjian itu bagi A&W Malaysia manakala AGABI diwakili Pengarah Urusannya, Martin Lim.

Hadir sama, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat, Dean Thompson dan Ketua Eksekutif A&W Restaurants, Inc, Kevin Bazner.

Perjanjian itu bertujuan meluaskan lagi kehadiran jenama A&W di Malaysia melalui peningkatan jumlah cawangan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, pelan pengembangan itu disasarkan kepada golongan generasi baharu sebagai pelanggan utama di samping pelanggan lebih berusia yang membesar dengan memori indah bersama A&W.

Menurutnya, perjanjian dengan AGABI itu juga memberikan lonjakan kepada pelan A&W Malaysia bagi menjadikan jenama itu dalam kedudukan tiga pemain makanan segera terbaik di negara ini sekali lagi pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:01 AM