TEO dan Lee (kanan) menggunakan Coca-Cola Freestyle pada pelancarannya di mmCineplexes, Mutiara Damansara. FOTO/ AZIAH AZMEE
TEO dan Lee (kanan) menggunakan Coca-Cola Freestyle pada pelancarannya di mmCineplexes, Mutiara Damansara. FOTO/ AZIAH AZMEE
Nabil Basaruddin


PETALING JAYA: Coca-Cola Malaysia memperkenalkan mesin dispenser minuman dikenali sebagai Coca-Cola Freestyle yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh syarikat itu di negara ini serta kedua di rantau Asia.

Pengenalan mesin itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan mmCineplexes yang menawarkan lebih 50 pilihan minuman.

Eksekutif Inovasi dan Pertumbuhan Coca-Cola Malaysia, Lee Sook Yan berkata, dengan paparan skrin sentuh yang mesra pengguna, ia memberi pelanggan pengalaman minuman ringan hanya dengan beberapa langkah mudah.

“Pengguna dapat menikmati minuman Coca-Cola, Sprite, Fanta, Dasani dan A&W serta ia boleh dicampurkan dengan perisa buah seperti ceri dan oren.

“Lebih menarik lagi, terdapat pilihan perisa baru yang boleh didapati seperti mangga dan laici yang mana ia adalah antara 15 pilihan eksklusif hanya di Malaysia.

“Antara minuman popular yang lain termasuklah Sprite Zero Laici dan A&W Rootbeer Zero Ceri Vanila,” katanya pada majlis pelancaran Coca’Cola Freestyle di mmCineplexes di sini.

Hadir sama, Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan mmCineplexes, Jason Teo.

Sook Yan berkata, hanya dengan konsep suai dan padan, pelanggan boleh mencipta minuman eksklusif yang mereka idamkan.

“Mesin minuman ini turut menggunakan teknologi khas iaitu Teknologi PurePour bagi menggabungkan semua ramuan serta Teknologi True Carb untuk pengkarbonan,” katanya.

Menurutnya, pihak syarikat juga kini sedang dalam proses perbincangan daripada pelbagai sektor perniagaan bagi membolehkan mesin minuman ini mempunyai lebih banyak capaian kepada pengguna.

Sementara itu, Jason berkata, sebagai pawagam terkemuka di negara ini, pihaknya teruja untuk menjadi perniagaan pertama yang dapat menawarkan servis mesin minuman ini.

“Kini pengguna dapat menikmati lebih 50 pilihan air ‘sparkling’ dan minuman tanpa gas pada bila-bila masa termasuk lebih 30 pilihan rendah atau bebas kalori,” katanya.

“Malah, pilihan minuman ini adalah unik kerana tidak terdapat di mana-mana pasar raya dalam bentuk sedia untuk diminum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 5:01 AM