Ketua Pegawai Eksekutif A&W, George Ang (kiri sekali) pada pelancaran pembukaan cawangan baru di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ketua Pegawai Eksekutif A&W, George Ang (kiri sekali) pada pelancaran pembukaan cawangan baru di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Sofyan Rizal Ishak


A&W (Malaysia) Sdn Bhd (A&W Malaysia), memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM25 juta bagi membuka 15 cawangan baharu dan menaik taraf lima hingga enam cawangan sedia adanya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, George Ang berkata, syarikat merancang untuk meningkatkan jumlah cawangan kepada 60 menjelang hujung tahun ini dan 100 cawangan menjelang 2021.

Menurutnya, antara lokasi cawangan baharu pada tahun ini adalah di i-City Shah Alam, Mid Valley Mega Mall, Kuala Lumpur dan Southkey, Johor Bahru dengan purata pelaburan bagi setiap cawangan adalah antara RM1.2 juta hingga RM1.5 juta bergantung kepada lokasi.

"Kami yakin rancangan pembukaan cawangan ini akan membantu visi kami menjadi salah satu daripada tiga jenama makanan segera teratas daripada aspek bilangan cawangan pada masa depan," katanya pada pelancaran cawangan A&W ke-47 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa ini, A&W memiliki 47 cawangan di seluruh negara dengan tujuh cawangan dibuka dibawah syarikat induk baharunya iaitu Inter Mark Resources Sdn Bhd (IMRSB) selepas mengambil alih kepentingan keseluruhan dari KUB Malaysia Berhad (KUB).

Pada September 2018, Restoran Kualiti Sdn Bhd (RKSB) iaitu anak syarikat milik penuh KUB melupuskan kepentingan keseluruhan dalam A&W Malaysia kepada IMRSB untuk nilai RM34 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:45 PM