AMIRUDDIN (kiri) bersalaman dengan peserta GIFF 2018, semalam.
AMIRUDDIN (kiri) bersalaman dengan peserta GIFF 2018, semalam.
Nurhayati Abllah


KUALA LUMPUR: Malaysia masih mengekalkan kedudukan sebagai peneraju kewangan Islam global dipacu oleh persekitaran industri lebih matang, demikian menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, sejak lebih 30 tahun lalu, persekitaran kewangan Islam di Malaysia menjadi lebih berkeupayaan dibantu dengan pelbagai kerjasama peserta industri termasuk syarikat perundangan, perakaunan, teknologi dan firma penarafan selain dibantu platform perdagangan komoditi.

“Institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan sampingan profesional di Malaysia mempunyai pengalaman luas dan berperanan penting menyokong pertumbuhan industri di luar sempadan negara.

“Selain itu, ada tumpuan khusus membangunkan pembangunan modal insan dalam industri untuk memperluaskan keupayaan kelompok bakat kewangan Islam tempatan,” katanya ketika berucap pada Forum Kewangan Islam Global (GIFF 2018) di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia kekal pemaju utama bagi pasaran sukuk, mewakili 51 peratus daripada jumlah keseluruhan sukuk terkumpul global berjumlah AS$396 bilion (RM1.7 trilion), tahun lalu.

“Pada Julai tahun lalu juga kita mencapai kejayaan dalam inovasi sukuk dengan penerbitan sukuk hijau SRI pertama di dunia dan setakat ini, syarikat korporat Malaysia menerbitkan sukuk hijau berjumlah RM3.7 bilion,” katanya.

Malaysia juga katanya, menerajui industri pengurusan kekayaan Islam dengan mengeluarkan dana AS$28.3 bilion iaitu 36.5 peratus saham global sehingga akhir 2017.

“Kita juga berada pada kedudukan pertama daripada segi jumlah dana dengan 27.9 peratus saham global atau 394 dana,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Institusi Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Adissadikin Ali ketika ditemui berkata, saiz aset perbankan Islam tempatan berada pada landasan kukuh untuk mencapai 40 peratus pegangan pasaran menjelang 2020 berbanding 30 peratus ketika ini.

“Menerusi Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang diperkenalkan BNM, pihak kami optimis sasaran itu mampu dicapai. Ini kerana VBI pencetus perubahan bagi mengukuhkan peranan institusi perbankan Islam dan meletakkan industri kewangan Islam supaya lebih dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 8:11 AM