Dr Mohd Daud Bakar
Dr Mohd Daud Bakar
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perkembangan memberangsangkan dalam sistem kewangan dan perbankan Islam di negara ini menyebabkan banyak negara lain termasuk negara bukan Islam mahu menjadikan Malaysia sebagai contoh.

Pengasas dan Pengerusi Amanie Advisors Sdn Bhd (Amanie) Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia yang semakin berkembang pesat membolehkan ia menawarkan alternatif penting kepada sistem perbankan konvensional.

Beliau berkata, Malaysia antara negara terawal yang memperkenalkan sistem kewangan Islam sebagai alternatif kepada sistem konvensional sedia ada dengan sokongan padu kerajaan dan peserta industri.

Menurutnya, ketika ini, Malaysia muncul sebagai pemain utama dalam sektor sukuk dan unit amanah di dunia dengan merekodkan jumlah tertinggi berdasarkan kepada mata wang ringgit.

“Bagaimanapun, sebagai pemain antarabangsa, kita perlu mempelbagaikan pengurusan mata wang ringgit kepada mata wang lain seperti dolar Amerika dan Euro. Malaysia perlu ‘bermain’ dengan kaedah baru di peringkat antarabangsa.

“Dalam konteks antarabangsa, peranan Malaysia diperlukan lebih-lebih lagi dengan membuka ruang pasaran baru kerana kebanyakan peserta Malaysia masih sukar untuk meluaskan jaringan di luar negara,” katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, dalam hal ini, pendedahan lebih meluas perlu dilakukan bagi membolehkan peserta kewangan Islam tempatan melihat peluang jaringan yang lebih besar di peringkat antarabangsa.

“Mungkin kita selesa dengan pasaran sekarang terutama di Asia Tenggara sebab kita memberi fokus kepada Vietnam, Kemboja dan Indonesia tetapi sebagai peserta kewangan Islam yang terbesar, perlu untuk kita mencontohi bank di Jepun, China dan Eropah.

“Ini kerana mereka juga sedang meluaskan lagi jaringan dengan mewujudkan hubungan dua hala,” katanya.

Beliau berkata, perbankan adalah pintu utama untuk transaksi perniagaan secara cepat dan berikutan itu, Malaysia perlu segera mengaktifkan peranan sebagai hab kewangan Islam supaya lebih global dengan membawa kepakaran sedia ada untuk membantu.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kepakaran dan kehebatan dalam sistem kewangan dan perbankan Islam tetapi tidak dieksport ke peringkat antarabangsa.

“Kumpulan Amanie sendiri memainkan peranan membawa masuk sukuk dan unit amanah berpotensi dari negara lain serta memberi penerangan kepada bank utama di Malaysia mengenai sukuk terbaik untuk disatukan.

“Dalam tempoh lima tahun, Amanie berjaya membawa sukuk dari Kazakhstan ke Malaysia berjumlah AS$2 bilion serta dana dari Malaysia ke Dublin, Ireland serta beberapa negara lain,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks Malaysia, aset kewangan Islam yang bertaraf antarabangsa masih rendah iaitu kurang daripada lima peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 7:28 AM