NAJIB Razak
NAJIB Razak
myMetro

Kuala Lumpur: Pasaran modal Malaysia terus menjadi sumber pengumpulan dana dan pelaburan yang memanfaatkan apabila berjaya meraih sebanyak RM978 bilion sejak sedekad lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kejayaan itu disokong oleh pengantara dan industri pengurusan dana yang dikawal selia oleh kerangka pengawalseliaan kondusif di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC).

“Pembangunan Malaysia serta kebanyakan inisiatif awam dan swasta dipermudahkan menerusi penyediaan pembiayaan yang besar,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam ucaptama pada Forum Dana Antarabangsa 2017 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, pasaran bon dan sukuk yang serba maju di negara ini dilengkapi oleh pasaran ekuiti membolehkan usaha pengumpulan dana secara berkesan dan kompetitif yang merentasi pelbagai tempoh serta industri.

Menurutnya, pasaran modal Malaysia secara keseluruhan antara yang terbesar di rantau ini manakala pasaran sukuk yang diterajui Malaysia di peringkat dunia menyumbang 54 peratus daripada jumlah sukuk global pada akhir 2015.

“Struktur kemudahan pasaran sukuk berteraskan prinsip syariah secara meluas membolehkan penerbit memilih (produk) yang menepati profil aset dan keperluan aliran tunai masing-masing.

“Pasaran modal Islam Malaysia juga meningkat lebih tiga kali ganda bagi tempoh 2005 hingga 2015 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 12 peratus,” katanya.

Katanya, bersandarkan saiz pasaran sebanyak RM1.7 trilion setakat November tahun lalu, pasaran modal Islam Malaysia mewakili 60 peratus daripada jumlah pasaran modal negara dan ia mempunyai ekosistem yang komprehensif.

Beliau berkata, selain pembangunan pasaran sukuk, SC turut melakukan pelbagai usaha meningkatkan lagi bidang dana Islam, sekali gus membolehkan Malaysia muncul pasaran kedua terbesar dari segi aset di bawah pengurusan dana Islam global.

Forum sehari sempena pelancaran Rangka Tindakan Dana dan Pengurusan Kekayaan Islam itu turut membincangkan hala tuju dan prospek industri pengurusan pelaburan, potensi pertumbuhan dana Islam, pengurusan kekayaan serta pelaburan secara mampan dan bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:05 AM