LEMBAGA Tabung Haji.
LEMBAGA Tabung Haji.
Sri Ayu Kartika Amri


Putrajaya: Kerajaan ingin memberi komitmen bahawa penambahbaikan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bertujuan melindungi kepentingan pendeposit, selain memastikan keteguhan kewangan TH akan terus menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keputusan meletakkan TH di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.

Katanya, Ini adalah bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya selaras dengan amalan standard tadbir urus yang baik yang ditetapkan oleh Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC).

"TH juga adalah institusi kewangan yang disifatkan sistemik dan saling berhubung rapat dengan sistem kewangan negara berikutan skala operasinya yang besar (dari segi saiz deposit dan pelaburan) serta mengurus sejumlah hampir RM82 bilion deposit pada suku kedua tahun 2021, merangkumi 10 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam.

"Sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam. Pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam berkenaan.

"Selain itu, TH turut memegang sebanyak RM36 bilion sukuk korporat, mempunyai aset saham yang besar dalam bentuk pelaburan strategik di pelbagai syarikat korporat termasuk yang disenaraikan di Bursa Malaysia serta pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai lanjutan kepada siaran media bertarikh 15 Julai 2021 yang mana Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa selaras dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berhubung dengan TH, kerajaan terus mendokong teguh ketetapan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung Islam sebagai agama Persekutuan dan TH akan tetap kekal sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji bagi menunaikan rukun Islam yang kelima.

Tengku Zafrul berkata, sehubungan itu, bagi meningkatkan kemampanan TH dalam jangka masa panjang, cadangan aturan pengawalseliaan yang lebih formal di bawah BNM akan meletakkan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Menurutnya, pemantauan dan kawal selia oleh BNM adalah komponen penting dalam usaha memperkasakan TH sebagai institusi Islam yang lebih berdaya tahan di dalam ekosistem kewangan negara dan ke arah mengangkat kedudukan TH sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang cemerlang dan lestari di peringkat global.

"BNM dipertanggungjawabkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 antara lainnya untuk memelihara kestabilan sistem kewangan negara. Bagi melaksanakan mandat ini, BNM diberi kuasa menurut Akta 701 dan juga Akta 759 termasuk mengawal selia institusi kewangan bersifat sistemik, tertakluk kepada keperluan tadbir urus yang terkandung di dalam Akta-Akta berkenaan.

"Pendekatan yang sama telah diguna pakai dalam mengawal selia institusi kewangan pembangunan yang ditubuhkan dengan mandat khusus seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat).

"Oleh yang demikian, cadangan rangka kerja pengawalseliaan oleh BNM ke atas TH akan disesuaikan berdasarkan ciri-ciri dan risiko model perniagaannya iaitu fit-for-purpose regulation, tidak semestinya sama dengan institusi perbankan lain.

"Contohnya, keperluan pematuhan kecukupan modal yang khusus akan dibangunkan bersesuaian dengan model perniagaan TH iaitu pengambilan deposit (bahagian liabiliti) untuk tujuan pelaburan (bahagian aset), berbeza dengan institusi perbankan yang mengambil deposit (bahagian liabiliti) bagi tujuan utama memberi pembiayaan (bahagian aset).

"Seterusnya, keperluan kecairan yang bersesuaian dengan ciri-ciri deposit dan pelaburannya bagi memastikan TH dapat mengurus aspek kecairan dengan lebih mantap dalam memenuhi kehendak pengeluaran pendepositnya tanpa mendatangkan kesan negatif terhadap keberuntungan TH dan sistem kewangan secara keseluruhannya," katanya.

Tengku Zafrul berkata, pengawal seliaan oleh BNM adalah perlu bagi mewujudkan aspek semak dan imbang selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 6:09 PM