Izlaily Nurul Ain Hussein


Kuala Lumpur: Penyenaraian lebih banyak institusi kewangan Islam di Bursa Malaysia diperlukan bagi merangsang industri pengurusan dana dan kekayaan Islam pada masa depan.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi dana itu.

Beliau berkata, daripada 672 sekuriti patuh syariah disenarai di bursa tempatan, hanya dua saja daripada sektor kewangan iaitu BIMB Holdings Berhad dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

“Oleh itu, sektor kewangan mempunyai jumlah sekuriti tersenarai patuh syariah paling rendah. Ia meletakkan peratusan sekuriti patuh syariah di bawah sektor itu pada hanya enam peratus,” katanya pada Forum Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam Antarabangsa, di sini, semalam.

Beliau berkata, kekurangan institusi kewangan Islam yang disenarai boleh memberi cabaran besar kepada industri berkenaan terutama kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti PNB, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mereka diharap untuk menawar dividen patuh syariah kepada pelabur Islam di Malaysia.

Berikutan itu, menurutnya, adalah mustahil menawarkan pulangan kompetitif jika GLIC perlu mengelak daripada melabur dalam sektor kewangan kerana hanya ada enam peratus sekuriti patuh syariah disenarai di Bursa Malaysia.

Beliau mencadangkan tiga kemungkinan bagi meningkatkan pertumbuhan industri itu, pertama pembentukan kumpulan perbankan universal Islam tersenarai, selain BIMB Holdings yang diterajui Malaysia Building Society Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Malaysia Industrial Development Finance Berhad atau satu daripada bank Islam milik asing yang lebih besar.

Menurutnya, pilihan kedua ialah penyenaraian sebahagian institusi kewangan pembangunan Islam seperti Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat manakala pendekatan ketiga ialah mewujudkan penyenaraian berasingan ‘Islam’ atau ‘i-saham’ dalam kalangan kumpulan perbankan yang mempunyai aktiviti kewangan Islam yang agak besar seperti Maybank, CIMB dan RHB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 4:50 AM