HAFIZH Syahrin berusaha meningkatkan keserasian dengan jenteranya, Honda CBR1000 RR-R menjelang saingan Pusingan 2 di Litar Mandalika, Indonesia, bermula esok.
HAFIZH Syahrin berusaha meningkatkan keserasian dengan jenteranya, Honda CBR1000 RR-R menjelang saingan Pusingan 2 di Litar Mandalika, Indonesia, bermula esok.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Satu mata berharga diperoleh pada perlumbaan pembuka tirai Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Phillip Island, Australia minggu lalu nyata meningkatkan keyakinan Hafizh Syahrin Abdullah.

Bagaimanapun, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda yang beraksi dalam kelas WorldSBK itu mengakui banyak lagi ruang perlu diperbaiki terutama membabitkan aspek jenteranya, Honda CBR1000 RR-R menjelang saingan Pusingan 2 di Litar Mandalika, Indonesia, bermula esok.

"Perasaan saya dengan bahagian hadapan jentera kini lebih baik, tetapi kami masih perlu menambah baik di bahagian belakang.

"Kami akan mencuba sesuatu yang berbeza untuk menyesuaikan jentera dengan geometri Litar Mandalika," katanya.

Hafizh yang beraksi buat tahun kedua dalam kelas WorldSBK menamatkan dua perlumbaan di Litar Phillip Island, Australia dengan masing-masing berada di tempat ke-15, 17 dan ke-19 untuk perlumbaan Superpole.

Tahun lalu, Hafizh menamatkan kempen 2022 dengan 10 mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin yang membuat penampilan sulung dalam kelas WorldSSP bersama pasukan Petronas MIE MS Racing Honda pada minggu lalu berharap dapat meneruskan aksi konsisten di Mandalika.

Dia memperoleh lima mata di Australia selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-12 dan ke-15 di Perlumbaan 2.

"Kami tahu ia akan lebih mencabar di Indonesia tetapi kami kekal bermotivasi tinggi dan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 7:40 PM