AKSI Hafizh (kanan) di Litar Phillip Island. FOTO MIE Racing Japan
AKSI Hafizh (kanan) di Litar Phillip Island. FOTO MIE Racing Japan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Dua pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Adam Norrodin melihat masih ada ruang yang boleh diperbaiki dalam usaha meraih keputusan positif pada Pusingan 2 di Litar Mandalika, Indonesia dari 3 hingga 5 Mac ini.

Hafizh yang beraksi buat tahun kedua dalam kelas WorldSBK menamatkan dua perlumbaan di Litar Phillip Island, Australia dengan masing-masing berada di tempat ke-15, 17 dan ke-19 untuk perlumbaan Superpole.

Penamat di tempat ke-15 pada Perlumbaan 1 membolehkan Hafizh memperoleh satu mata berharga untuk berada di tangga ke-18 keseluruhan menjelang Pusingan 2 di Litar Mandalika trek yang menyaksikan dirinya berjaya memperoleh mata pada kedua-dua perlumbaan musim lalu.

Justeru itu, Hafiz yang juga pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing HONDA Team berkenaan berharap akan ada peningkatan daripada sudut jentera Honda CBR1000 RR-R menjelang saingan di negara jiran, hujung minggu ini.

"Perlumbaan pertama musim atau perlumbaan sulung (di Australia). Walaupun satu mata namun saya mengharapkan dapat mengumpul mata di setiap perlumbaan. Saya harap pada masa akan datang, pasukan dapat memberikan impak yang lebih besar (jentera).

"Terutamanya di Litar Mandalika, litar yang menyaksikan saya dapat meraih mata (musim lalu). Jadi saya mengharapkan dapat meraih mata di sana dan boleh menunggang dengan lebih baik.

"Pada masa ini, motosikal masih belum serasi dengan corak tunggangan saya lagi, jadi saya harap, pada masa akan datang, ia akan menjadi lebih baik," katanya.

Pada tahun lalu, Hafizh menamatkan kempen 2022 dengan 10 mata untuk berada di tangga ke-23 keseluruhan.

Selain itu, Adam yang membuat penampilan sulung dalam kelas WorldSSP bersama pasukan PETRONAS MIE MS Racing HONDA Team memperoleh lima mata selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-12 dan ke-15 di Perlumbaan 2.

"Saya gembira kerana dapat meraih satu mata (Perlumbaan 2), namun sedar yang ia akan menjadi lebih mencabar di Indonesia minggu ini. Apapun, kami akan kekal dengan motivasi sedia ada dan terus positif," kata Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 4:29 PM