ADAM bakal beraksi dalam kelas WorldSSP. FOTO GENES GULITAH
ADAM bakal beraksi dalam kelas WorldSSP. FOTO GENES GULITAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Adam Norrodin hanya akan berpangkalan di dalam negara walaupun saingan 2023 yang membabitkan 12 pusingan kebanyakannya berlangsung di bumi Eropah.

Menurut Adam yang pernah merancang untuk berpangkalan di sana, keputusan itu dibuat selepas penelitian daripada jarak masa daripada satu pusingan ke satu pusingan.

"Keputusan ini dibuat selepas memikirkan beberapa perkara termasuk kemudahan serta fasiliti yang ada di Malaysia bagi memudahkan saya menjalani latihan untuk menghadapi saingan perlumbaan," katanya yang bakal beraksi dalam kelas WorldSSP.

Ujarnya, dia terpaksa menukar hasrat berpangkalan di Eropah selepas kalendar saingan WSBK bagi 2023 dikeluarkan.

"Apabila kalendar keluar, saya lihat banyak masa (jarak masa)...hampir sebulan antara setiap perlumbaan. Jadi saya memutuskan untuk berpangkalan di Malaysia.

"Kalau diikutkan, latihan lebih mudah (untuk didapati) di Malaysia. Apabila berada di Eropah, agak sukar sedikit kerana perlu mencari jentera, mekanik dan sebagainya. Jadi ia agak sukar dan ini berdasarkan pengalaman saya di Eropah sebelum ini.

"Saya rasa perancangan (program) di Malaysia lebih teratur dan saya lebih senang untuk menjalani latihan di Malaysia," kata Adam yang mengharungi cabaran baharunya itu bersama pasukan MIE MS Racing Honda Team.

Musim ini, Adam, 24, dijadual menyertai rakan sepasukan dari United Kingdom, Tarran Mackenzie yang menamatkan kempen Kejuaraan British Superbike (BSB) di tempat ketujuh keseluruhan.

WSBK dijadual membuka tirai musim 2023 di Litar Phillip Island, Australia dari 24 hingga 26 Februari ini sebelum Litar Mandalika, Indonesia menjadi destinasi bagi Pusingan 2 pada 3 hingga 5 Mac nanti.

Sembilan pusingan selepas itu dijadual berlangsung di bumi Eropah, bermula di Belanda pada April sehingga Argentina, Oktober.

Selain Adam, turut menghangatkan WSBK adalah Hafizh Syahrin Abdullah yang menyertai saingan buat tahun kedua bersama pasukan MIE Racing Honda Team dalam kelas WorldSBK.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 6:40 PM