ADAM berjaya perbaiki kedudukan pada perlumbaan 2. FOTO Instagram Mieracing
ADAM berjaya perbaiki kedudukan pada perlumbaan 2. FOTO Instagram Mieracing
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Adam Norrodin berjaya memperbaiki kedudukan ke-15 perlumbaan 1 semalam apabila menamatkan saingan di tempat ke-13 pada perlumbaan 2 kelas WorldSSP di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia, pelumba berusia 24 tahun itu ketinggalan 53.175 saat (s) di belakang pemenang dari pasukan Althea Racing Team, Federico Caricasulo yang melengkapkan 18 pusingan perlumbaan dengan catatan 28'51.984s

Tempat kedua perlumbaan dimenangi pelumba Itali Stefano Manzi yang mewakili pasukan Ten Kate Racing Yamaha manakala rakan senegara Nicolo Bulega (Aruba Racing WorldSSP Team), di tempat ketiga.

"Alhamdulillah pada Pusingan 2 ini, kedua-dua perlumbaan dapat meraih mata. Semalam di tempat ke-15 dan hari ini ke-13.

"Syukur kerana kita dapat terus menunjukkan peningkatan pada setiap perlumbaan dan sudah tentunya, kita mengharapkan yang lagi baik di pusingan di Eropah selepas ini, katanya.

Selepas tamat saingan di Mandalika, Adam kini menduduki tangga ke-17 keseluruhan dengan sembilan mata selepas meraih lima pada aksi pembuka tirai di Litar Phillip Island, Australia, minggu lalu.

Saingan Pusingan 3 dijadual berlangsung di Litar TT Assen, Belanda dari 21 hingga 23 April ini sebelum beralih ke Litar Catalunya, Sepanyol, 5 hingga 7 Mei.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi dalam kelas perdana WorldSBK bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda Team, menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 untuk membawa satu mata berharga dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 5:30 PM