HAFIZH (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan.
HAFIZH (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pasukan Honda MIE Racing hari ini mengumumkan penaja utama baharunya, Petronas, menjelang Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2023 yang membuka tirainya hujung minggu ini di Litar Phillip Island, Australia.

Kerjasama dengan dengan Petronas membolehkan pasukan milik Midori Moriwaki dapat mengembangkan perancangan mereka serta menetapkan beberapa matlamat untuk musim 2023 dan seterusnya.

Petronas MIE Racing Honda akan menyaksikan penampilan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah bersama rakan sepasukannya, Eric Granado dalam kelas WorldSBK.

Pasukan itu juga buat kali pertama bakal beraksi menerusi kelas WorldSSP yang dibarisi pelumba negara, Adam Norrodin dan rakan sepasukannya, Tarran Mackenzie dikenali sebagai Petronas Mie MS Racing Honda.

Ini kali pertama pembabitan Petronas di Kejuaraan Superbike Dunia.

"Ia adalah sumber kebanggaan dan kepuasan sebenar bagi pasukan Honda MIE Racing kerana dapat mengumumkan kerjasama bersama Petronas untuk tempoh beberapa tahun ke depan.

"Kami juga berharap dapat mengembangkan kehadiran kami dalam kejuaraan ini bersama pasukan Supersport," Midori menerusi satu kenyataan.

Kerjasama Mie Racing dengan Petronas bermula ketika Grand Prix (GP) Malaysia tahun lalu yang pada ketika itu disertai Kasma Daniel Kasmayudin, Azroy Hakeem Anuar dan Khairul Idham Pawi atas tiket wildcard.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 6:02 PM