RICCIARDO sudah mengakui sangat rindu dengan rakan-rakan seperjuangan dan perlumbaan. FOTO Agensi
RICCIARDO sudah mengakui sangat rindu dengan rakan-rakan seperjuangan dan perlumbaan. FOTO Agensi
AFP

PELUMBA kelahiran Australia, Daniel Ricciardo mengakui persiapannya tidak terganggu apabila saingan Formula Satu (F1) ditangguhkan sebelum ia disambung semula hujung minggu depan di Austria.

Ricciardo, yang akan beraksi buat kali terakhir sebagai pelumba Renault musim ini sebelum berpindah ke McLaren tahun depan, berkata, dia tidak mahu menjadikan protokol ketat kesihatan untuk membendung Covid-19 sebagai penghalang meraih kemenangan.

"Hujung minggu depan, saya tidak melihat sebarang persiapan terganggu. Kami mempunyai ruang untuk memanaskan badan dan bersedia menjelang perlumbaan. Saya rasa ia lebih kepada sudut kebersihan secara umum.

"Bagaimanapun, sebaik masuk ke dalam jentera ia bermakna saya sudah bersedia. Saya percaya masih lagi mempunyai sentuhan seperti sebelum ini untuk memastikan saya berada pada tahap 100 peratus," katanya yang berusia 30 tahun.

Saingan F1 musim ini dihimpit dengan masalah Covid-19 bermula di Melbourne Mac lalu sebelum ia terpaksa ditangguhkan.

Perubahan kalendar menyaksikan lapan perlumbaan di Eropah akan dilangsungkan, bermula dengan di Speilberg minggu depan.

Bagaimanapun, semua perlumbaan diadakan tanpa penonton, manakala pintu masuk litar dan paddock pula akan dikawal ketat.

"Perkara negatif sudah tentunya tidak dapat berlumba tapi selepas sekian lama belum turun ke litar, ia membuatkan saya terlalu merinduinya.

"Saya juga mula rindu untuk bertemu dengan pelumba lain," katanya yang menduduki tempat kesembilan kesuluruhan musim lalu.

Renault menduduki tempat kelima kategori pengeluar tahun lalu di belakang juara, Mercedes, Ferrari, Red Bull dan McLaren.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 10:08 AM