IANNONE perlu menjalani hukuman penggantungan selama empat tahun. FOTO FB Andrea Iannone
IANNONE perlu menjalani hukuman penggantungan selama empat tahun. FOTO FB Andrea Iannone
Agensi

Rome: Menerima hukuman penggantungan sehingga 17 Disember 2023 oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana kesalahan doping, nampaknya sukar untuk Andrea Iannone kembali beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia.

Pelumba Itali itu bakal berusia 34 tahun apabila dia dibenarkan untuk beraksi semula selain terlepas beraksi selama empat musim penuh di MotoGP.

Namun menerusi jawapan kepada satu pertanyaan di Instagram, bekas pelumba pasukan pengeluar Ducati, Suzuki dan Aprilia itu membalas: "Saya tidak pernah berputus asa untuk kembali ke MotoGP. Apabila masanya tiba, saya akan bercakap mengenainya."

Iannone pada awalnya perlu memenuhi hukuman penggantungan selama 18 bulan oleh FIM kerana gagal ujian doping yang dilakukan di Grand Prix (GP) Malaysia pada 2019.

Dia kemudian mengemukakan rayuan kepada CAS dengan memberi alasan bahawa kandungan sumber steroid Drostanolone yang dilarang itu adalah daging yang tercemar dan hukuman itu wajar dibatalkan.

Bagaimanapun, Agensi Antidoping Dunia (WADA) turut mengemukakan rayuan meminta hukuman dipanjangkan selama empat tahun.

CAS akhirnya turut memihak kepada WADA apabila memutuskan Iannone melakukan kesalahan doping dengan alasan bahawa dia gagal menentukan jenis daging yang tepat yang dimakannya atau asal-usul daging berkenaan.

Selain itu, tidak terdapat sebarang masalah pencemaran daging di Malaysia.

Iannone yang pernah memenangi perlumbaan bersama Ducati, berpeluang mengurangkan hukuman penggantungan kepada maksimum dua tahun jika dia dapat meyakinkan CAS bahawa pelanggaran kesalahan doping itu adalah tidak disengajakan.

Bagaimanapun CAS tetap dengan keputusan bahawa Iannone gagal memberikan sebarang bukti meyakinkan dan akibatnya, dia dikenakan hukuman penggantungan penuh selama empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 1:35 PM