AFP

Rio de Janeiro: Juara dunia Yulia Efimova akan mengetuai lima perenang Russia yang berjaya mendapat penangguhan hukuman doping untuk beraksi di Olimpik bersama 276 pesaing di Rio.

Peluang masih lagi terbuka buat beberapa atlet lain untuk menyertai kontinjen negara berkenaan termasuk dari acara gusti dan pelayaran di mana rayuan mereka masih belum diputuskan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Delegasi Russia yang berjuang agar hukuman doping ditangguhkan, mendapat tepukan gemuruh apabila memasuki Stadium Maracana dalam Upacara Pembukaan Rasmi semalam.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Russia meraikan kejayaan mereka apabila berjaya menambah bilangan atlet untuk beraksi di Rio selepas mendapat pelepasan CAS sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Saya akan ke Olimpik, saya berasa sangat bangga dan lega,” kata Yulia, juara dunia acara kuak dada dan pemenang pingat gangsa di Olimpik 2012 yang berusia 24 tahun.

Mac lalu, Yulia digantung sementara oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) selepas didapati positif menggunakan meldonium, bahan terlarang jangka panjang yang diharamkan sejak Januari lalu.

Dia berdepan penggantungan seumur hidup selepas dua kali didapati melakukan kesalahan namun FINA menangguhkan hukuman ke Mei lalu selepas Agensi Anti Doping Dunia (WADA) berkata, atlet yang didapati positif meldonium awal tahun ini boleh diambil tindakan sebelum diharamkan.

FINA mengecualikan Yulia sekali lagi selepas meletakkannya di antara tujuh perenang Russia yang digantung dari Olimpik selepas siasatan oleh peguam dari Kanada, Richard McLaren untuk WADA mendapati berlaku skandal doping besar-besaran di Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:10 AM