JONAH mahu raih tiga emas di Sukma. -FOTO NSTP
JONAH mahu raih tiga emas di Sukma. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas memecahkan rekod kebangsaan sebanyak tiga kali di Terbuka Pahang, atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan mempunyai misi tersendiri di Sukan Malaysia (Sukma) ke 21 yang berlangsung di negeri kelahirannya.

Menurut atlet kelahiran Sarikei berusia 21 tahun itu, misinya di temasya berkenaan yang juga penampilan terakhirnya, adalah merangkul tiga emas dalam tiga disiplin balingan dalam sukan olahraga.

"Sebenarnya, saya mensasarkan emas dalam ketiga-tiga acara bukan sahaja lontar peluru, tetapi termasuk lempar cakera dan baling tukul besi," katanya yang mencatat rekod baharu 18.46 meter (m) mengatasi catatan lama 17.06m.

Ujar Jonah, dia berharap dapat mencipta sejarah dengan menjadi atlet balingan pertama negerinya mampu merangkul tiga emas di temasya berkenaan sekali gus bersaing dalam perebutan gelaran olahragawan.

"Tidak pernah atlet dari disiplin balingan merangkul tiga emas. Satu lagi saya mahu jadi atlet olahraga yang memenangi olahragawan walaupun ia sukar dengan tentangan atlet terjun, renang, kayak dan boling.

"Bukan senang atlet olahraga untuk menjadi olahragawan tetapi saya cuba untuk mencipta sejarah dengan memburu tiga emas dan mencatatkan dua rekod," katanya.

Jonah mengakui catatan peribadi terbaiknya bagi acara lempar cakera ialah 45m, manakala baling tukul besi pula 50m.

Tambahnya, pada Sukma 2022, dia pernah meraih pingat (perak) dalam dua acara berkenaan namun perlu berwaspada dengan kemampuan atlet remaja.

"Atlet remaja juga mampu membuat balingan jauh namun saya perlu melakukannya kerana ini adalah Sukma terakhir dan perlu mendapatkannya (tiga emas) tahun ini," katanya yang menjadi atlet pertama negara melepasi jarak 18m dalam acara lontar peluru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 2:25 PM