MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Program 'Women to Women Sports Coaching Symposium 2024' terus mengangkat golongan wanita ke satu tahap lebih baik di dalam bidang sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jika sebelum ini, golongan lelaki lebih sinonim dalam bidang sukan sama ada atlet atau jurulatih namun dengan insentif dari Institut Sukan Negara (ISN) itu membuka ruang lebih besar buat mereka yang mempunyai kelayakan untuk tampil ke hadapan.

Selain itu, program itu juga bakal menampilkan pakar tempatan dan antarabangsa dalam bidang sains, perubatan dan kejurulatihan sukan di Malaysia sekali gus peluang sangat berharga untuk semua peserta menimba ilmu dan pengalaman daripada pakar berkenaan.

"Penganjuran program ini dengan fokus utama bagi membina kapasiti jurulatih wanita dalam membentuk atlet mencapai prestasi sukan yang optimum mengikut aplikasi sains dan perubatan, kejurulatihan sukan yang melibatkan jurulatih-jurulatih wanita khasnya serta penglibatan jurulatih wanita dalam sukan prestasi tinggi, sukan massa, kecergasan dan rekreasi.

"Program ini juga bermatlamat untuk memperkasakan golongan wanita dalam bidang sukan yang memfokuskan kepada pelbagai cabang ilmu seperti pendidikan, penyelidikan dan pembangunan sukan yang bermatlamat dapat melahir, membentuk serta menambah bilangan jurulatih dan atlet wanita yang berpotensi, berbakat dan terlatih di peringkat akar umbi dan prestasi tinggi sukan negara.

"ISN melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan juga memberi nilai tambah kepada pembangunan kejurulatihan melalui Modul Sukan Selamat secara online yang bertujuan memberi lebih kefahaman kepada jurulatih mengenai Kod Sukan Selamat yang dilancarkan oleh KBS pada 15 Mac 2023," katanya.

Tambah Hannah lagi, bidang kejurulatihan dilihat berpotensi menjadi salah satu laluan kerjaya selain program seperti itu menyediakan pelbagai platform latihan dan pembangunan profesional yang dibentuk khas bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan golongan wanita dalam bidang kejurulatihan dan kepimpinan sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 9:39 PM