PENYELARAS program RTG, Stuart Ramalingam. -FOTO NSTP
PENYELARAS program RTG, Stuart Ramalingam. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Road to Gold (RTG) tidak akan mencampuri urusan pemilihan barisan jurulatih atlet yang berada dalam program terbabit apabila mereka bermesyuarat kelak.

Perkara itu dimaklumkan Penyelaras program, Datuk Stuart Ramalingam yang melihat pemilihan jurulatih atlet adalah dalam bidang kuasa persatuan sukan manakala jawatankuasa RTG hanya memantau dan membantu atlet yang berada dalam program berkenaan.

Beliau berkata, pemilihan jurulatih tidak memberi kesan secara keseluruhan kepada atlet kerana rata-rata mereka bergelar juara dunia dan pemenang pingat di pentas Asia dan Olimpik.

"RTG tak boleh untuk menilai barisan kejurulatihan kerana kita hanya memantau dan melihat kepada keupayaan atlet saja.

"Kita bukan saja bercakap mengenai Pembangunan namun turut membabitkan atlet yang berada di peringkat tertinggi. Kebanyakan atlet yang berada di program RTG pernah memenangi kejohanan dunia dan juga pemenang pingat emas di Sukan Asia.

"Saya kurang bersetuju barisan kejurulatihan menyebabkan prestasi atlet kurang memuaskan. Mereka (atlet) berada pada tahap sekarang kerana hasil daripada air tangan jurulatih masing-masing," katanya.

Mengikut rekod, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan keputusan mengenai sama ada berlaku pertambahan atau pengguguran atlet dalam RTG hanya akan ditentukan selepas mesyuarat jawatankuasa program, dijangka pada bulan ini.

Hannah pada ketika itu berkata, mesyuarat akan turut membabitkan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi.

Sukan Asia Hangzhou dijadual membuka tirainya pada 23 September ini sehingga 8 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 12:58 PM