RASHID bersama pemain badminton negara selepas tamat final hari ini.
RASHID bersama pemain badminton negara selepas tamat final hari ini.
Syafiq Aznan


Surabaya: Skuad badminton negara membawa pulang dua pingat emas Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 menerusi acara beregu campuran dan beregu lelaki di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang, hari ini.

Beregu campuran, Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan yang juga pilihan kedua mengecewakan gandingan tuan rumah, Elgifanni Muhammad Juan-Jovita Elizabeth dalam aksi tiga set 17-21, 21-17, 21-11.

Gandingan beregu lelaki selaku pilihan kedua, Wong Tien Ci-Liew Xun pula menambah pingat emas kedua di AUG 2024 apabila menyingkirkan pilihan pertama yang juga gandingan tuan rumah, Elgifanni Muhammad Juan-Purnama Reza Dwicahya dengan keputusan 21-19, 21-10.

Hasrat kem badminton negara menambah dua lagi emas sekali gus mempertahankan emas dalam acara perseorangan lelaki dan beregu wanita tidak kesampaian apabila wakil negara tumbang di tangan lawan masing-masing.

Pemain perseorangan lelaki yang diletakkan sebagai pilihan kedua, Hooi Shao Herng terpaksa akur apabila tunduk di tangan pilihan pertama dari Thailand, Pusri Nachakorn 21-10, 21-11.

Begitu juga dengan gandingan beregu wanita, Valeree Siow-Lee Xin Jie yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas ditewaskan gandingan Thailand, Atitaya Povanon-Chasinee Korepap 21-12, 21-13.

Sebelum ini, skuad negara gagal mempertahankan emas acara berpasukan lelaki dan wanita apabila skuad berpasukan lelaki sekadar memenangi pingat gangsa dan berpasukan wanita meraih pingat perak.

Sementara itu, jurulatih skuad badminton AUG 2024, Datuk Rashid Sidek tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun sekadar membawa pulang dua emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa pada hari terakhir.

"Secara keseluruhan, kita memenangi dua pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa. Pemain sudah memberikan komitmen dan semangat juang yang tinggi untuk AUG edisi kali ini.

"Kami akan terus berjuang dan memberikan keputusan terbaik pada edisi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 9:51 PM