BERNAL dan teman wanitanya, positif Covid-19
BERNAL dan teman wanitanya, positif Covid-19
AFP

Bogota: Pelumba basikal dari Colombia, Egan Bernal kini menjalani proses kuarantin selepas mengalami simptom Covid-19 seminggu selepas dia merangkul gelaran juara Giro d'Italia.

Perkara itu dimaklumkan oleh pasukannya yang mana Bernal yang juga juara Tour de France bersama teman wanita Maria Fernanda Gutierrez menjalani ujian Covid-19 sebelum pulang ke Colombia dari Monaco.

"Mereka baru saja dimaklumkan hasil ujian dan mendapati kedua-duanya dijangkiti virus itu".

Pasukan Bernal, Ineos Grenadiers berkata "dia menunjukkan gejala ringan tapi dalam keadaan sihat."

Pelumba berusia 24 tahun ini kini menjalani kuarantin di Monaco, pusat pangkalan latihannya di Eropah sebelum kembali ke Colombia selepas tempoh pengasingannya berakhir bagi meraikan kejayaan Giro d'Italia di tanah airnya."

"Baik Bernal atau Maria tidak menunjukkan sebarang 'komplikasi," jelas kenyataan itu.

Bernal menguasai Giro bulan lalu selepas menguasai dua minggu pertama perlumbaan namun diberi tentangan oleh Briton Simon Yates dan Damiano Caruso dari Itali beberapa hari terakhir.

Dia muncul juara Tour de France pada 2019, perlumbaan paling berprestij dalam sukan berbasikal dengan menewaskan rakan sepasukan Ineos dan juara bertahan ketika itu Geraint Thomas di tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 12:02 PM