THOMAS pelumba utama Ineos tahun ini. FOTO AFP
THOMAS pelumba utama Ineos tahun ini. FOTO AFP
Agensi

London: Pasukan Ineos Grenadiers akan 'beraksi seperti Brazil' pada 2021 dengan menyasarkan pelumba Britain, Geraint Thomas muncul juara Tour de France (TdF), kata pengurus pasukan, Sir Dave Brailsford.

Brailsford mahu pasukannya menyesuaikan diri dengan gaya perlumbaan lebih spontan yang membawa kejayaan Tao Geoghegan Hart ketika menjuarai Giro d'Italia 2020.

"Ia sesuai dengan kebanyakan orang, begitu juga saya,'' katanya.

Pelumba Wales, Thomas yang menjuarai Tour pada 2018 akan dibantu pelumba handalan termasuk Geoghegan Hart.

Pasukan Britain, Ineos (sebelum ini Team Sky) menjuarai 19 Grand Tour sejak menyertai sukan itu pada 2010. Gaya perlumbaan mereka yang dikenali sebagai 'Sky train' - menggabungkan tempo metronomic dan pendekatan sains sukar diatasi pasukan lain yang mengamalkan gaya perlumbaan tradisional.

Buat kali pertama tahun lalu sejak 2014, Ineos gagal mengekalkan objektif mereka - menjuarai Tour. Juara bertahan Egan Bernal kehilangan lebih tujuh minat kepada pendahulu peringkat ke-15 dan akhirnya terpaksa menarik diri akibat kecederaan belakang.

Selepas Thomas, 34, berdepan kecederaan di Giro, pasukan mengambil pendekatan berbeza yang membolehkan pelumba Britain berusia 25 tahun, Geoghegan Hart menjuarai Grand Tour pertamanya.

"Kami tidak berubah tahun ini tetapi meneruskan apa yang dimulakan tahun lalu, pasukan yang lebih oportunis dan menyesuaikan diri dengan mana-mana keadaan,'' kata Brailsford.

"Kami perlu merampas peluang sebaiknya dan ia perlu ada dalam fikiran pelumba. Memenangi banyak kejuaraan, ramai berkata ia tidak bagus untuk sukan: 'Di mana debarannya? Ia sudah boleh dijangka dan terlalu dominan..'

"Sudah lama kami memikirkannya - adakah ia Terminator atau Zorro? Adakah ia Jerman atau Brazil, mungkin persediaan seperti Jerman dan beraksi seperti Brazil."

Ineos memberi kepercayaan kepada Thomas yang berdepan musim mengecewakan tahun lalu selepas dibelenggu kecederaan dengan memberikannya tugas sebagai pelumba utama untuk Tour tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 12:40 PM