PARIS akan menyaksikan kehadiran atlet dan pegawai dari seluruh dunia pada bulan depan. FOTO AFP
PARIS akan menyaksikan kehadiran atlet dan pegawai dari seluruh dunia pada bulan depan. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata kontinjen negara ke temasya Olimpik Paris 2024 kini berada dalam keadaan bersiap sedia.

Ketika ini tiada apa yang perlu dibimbangkan biarpun dilaporkan keadaan cuaca panas di Paris apabila temasya berlangsung.

Nazifuddin berkata, pasukan dari Institut Sukan Negara (ISN) akan sentiasa memantau rapi keadaan semasa atlet dari masa ke semasa.

"Setakat ini tiada apa untuk kita risaukan. Semua di bawah kawalan.

"Tiada masalah dan semua berjalan lancar," katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Olimpik 2024 di sini hari ini.

Sementara itu ketika ditanya jumlah kontinjen negara yang akan ke Paris 2024 kali ini, Nazifuddin berkata semuanya akan diputuskan pada awal Julai ini yang mana ketika ini MOM masih menunggu senarai wild card bagi dua acara iaitu renang dan olahraga.

Katanya, jumlah sebenar kontinjen negara dijangka akan membabitkan seramai 25 atlet yang mana ketika ini 22 atlet sudahpun mengesahkan tempat.

"Sekarang ini ada tiga lagi kuota wild card iaitu dua dalam acara renang membabitkan atlet lelaki dan satu wanita manakala satu untuk acara olahraga.

"Kita akan tunggu persatuan sahkan baru kita (MOM) akan umumkan," katanya.

Mengulas mengenai Sambutan Hari Olimpik, Nazifuddin berharap dengan adanya acara seperti Sambutan Hari Olimpik yang membabitkan lebih 40 gerai dapat memberi sokongan dan dorongan kepada kontinjen negara ke acara kemerlangan dan membawa pulang pingat untuk negara.

Terdahulu, 21 atlet sudah mengesahkan penyertaan dengan penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises muncul atlet pertama negara layak ke Paris 2024.

Lapan pemain badminton yang layak adalah beregu lelaki dan wanita iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly Tan-M Thinaah; beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pemain profesional negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Acara berbasikal menyaksikan penyertaan Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menerusi acara trek manakala Nur Aisyah Mohammad Zubir dalam acara lebuh raya.

Memanah pula menyaksikan penyertaan Ariana Nur Dania Mohd Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh dalam acara recurve berpasukan manakala Ariana turut layak dalam acara recurve individu.

Selebihnya adalah atlet pelayaran, Khairulnizam Mohd Afendy bersama Nur Shazrin Mohamad Latif; badang angkat berat, Aniq Kasdan; penembak, Johnathan Wong dan pemain golf negara, Gavin Kyle Green.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 8:28 PM